WELCOME TO MY BLOG....ASSALAMUALAIKUM WTH...:)

AIMAN ROSNARA... kehidupan ini satu perjuangan.. kehidupan ini satu pencarian.. berjuanglah untuk terus hidup.. teruskanlah mencari jati diri.. siapa kita di muka bumi ini.. siapa kita pada ilahi.. siapa kita pada agama islam yang suci.. siapa kita pada family.. siapa kita pada diri sendiri.. carilah..

Sunday, 10 April 2011

SALAHKAH DIA(4)-SUKAR MENENTUKANNYA; KEYAKINAN HATI ATAU NAFSU SENDIRI..

ISTIKHARAH…
Sebagaimana baginda mengajar surah daripada Al-Quran, Baginda berkata : 'Jika sesiapa dari kamu perihatin terhadap sesuatu keputusan dia hendak melakukannya, maka lakukan solat 2 rakaat yang bukan dari solat fardu..’(HR Bukhari)

Sukar benar hendak ditunaikannya. Bukan kerana tidak mahu atau kerana malasnya diri tetapi kerana hatinya. Apatah lagi hati ini terlalu sering digoda nafsu dunia. Demi mendapat naluri dan keyakinan hati yang tepat, dia semestinya mendapatkan hati yang bersih dahulu sebelum meminta yang terbaik dari ALLAH. Sudah puas juga dia menyucikan hati yang selalu berdebu dengan kotoran nafsu dunia itu, namun seringkali juga dia kecundang. Buntu. Dia masih buntu dan gagal membentuk hati yang bersih. Zikir dan munajatnya kerap, tapi kecundangnya seiring. Hampir putus asa dia. Namun semakin dia melewati laman ‘facebook’, antara dua insan terpelihara itu, semakin kuat niatnya untuk istikharah sebenarnya. Tapi keyakinan pada kemampuan yang lemah terus-terusan menjadikan niat itu tergantung. Lantaran itu, dia suakan soalan, meminta pendapat kepada yang dipercaya. Dua orang rakan kelasnya yang sebaya antara mereka tetapi muda daripadanya setahun, juga saling berlainan jantina itu diminta buah fikiran. Kiranya mereka antara yang paling rapat dan cantik pergaulannya dengan sahabat-sahabat yang lain. Jawapannya tetap sama, istikharahlah yang didahulukan sebelum dia memberitahu keluarga. Ah! Kedua orang tuanya pun masih belum termaklum walaupun sepatah kata lagi tentang ini. Tiada jalan terbaik selain daripada istikharah sebelum keputusan keluarga di minta. Jika disuakan dahulu pada keluarga, isu ini mungkin akan berpanjangan walaupun tidak jelas lagi. Serentak itu dia teringat kisah lima tahun lalu. Sewaktu dia di tingkatan enam, ketika usul seorang guru juga sahabat yang ingin merisiknya sebagai suri hidup. Itu sudah disoal jauh, apatah lagi sebagai suri hidup yang kedua. Baru saja mendengar usul sudah ditubi-tubikan soalan sehinggakan tidak terjawab olehnya.  Selebihnya, tiada apa-apa pun yang berlaku. Cukup sekadar permainan perasaan! Seperti juga kali ini, dia tidak berniat untuk mengulangi kesilapan yang sama, kerana dia masih tidak nampak lagi kebenarannya dan kepastiannya. Keadaan itu sememanganya membuatkan dia sukar untuk mempercayai urusan hati ,perasaan dan jiwa lagi. Baginya, seriusnya urusan ini bila kedua-dua orang tuanya ditemui oleh insan terpilih tersebut. Sesiapa saja.  Asalkan insan itu punyai nilai agama yang mahal. Dia memilih asset itu sebagai asset utamanya kerana dia merasakan dan menyedari kekurangan pada diri yang harus ditambah. Dunia akhiratnya harus diperbaiki demi mendapatkan syurga ALLAH. InsyaALLAH..

“ Aku mencintaimu kerana agamamu. Jika hilang agama itu dari dirimu, maka hilanglah cintaku terhadapmu ”

Dia terlalu tekun di hadapan skrin berlatarkan warna biru itu. Lewat malam begini sudah menjadi rutinnya untuk bermanja-manja dengan laptop kesayangannya. Dia lebih selesa begitu. Melayan perasaan sendiri sambil melewati laman sosial ‘facebook’ berselang dengan membuat tugasan kolej. Memandangkan maklumat tugasannya harus melayari internet, jadi serentak itu juga dia mengambil peluang untuk membuka laman sosial tersebut. Dalam keadaan fikiran yang berserabut, dia juga harus membahagikan masa untuk perkara-perkara lain termasuklah masanya untuk belajar dan  keluarga. Kerana itulah, dia tidak akan sesekali membawa dunia kolejnya pulang ke rumah orang tuanya. Berbeza pula jika dikolej, dia harus membuka ruang sedikit kepada urusan keluarga dan adik beradiknya memandangkan itulah tanggungjawabnya sebagai seorang anak dan kakak walaupun sudah terdapat perbezaan pada amalan dan cara hidup . Semenjak dua tiga hari kebelakangan ini dia selalu memikirkan sesuatu. Berusaha juga merujuk kepada beberapa buah buku yang dibawanya ketika di awal dia memasuki kolej barunya ini. Dia membezakan pula kaedah yang mana paling mampu dengan kemampuannya. Tidak puas dengan itu, dirujuknya pula kepada seorang  ustaz di kolejnya walaupun melalui perantaraan; pelajar ijazah. Apabila sudah agak yakin dengan hati dan penyempurnaan, dia nekad ingin melaksanakannya. Kiranya pada malam ini dia tergerak hati untuk meminta petunjuk ALLAH, jadi dia nekad meneruskannya. Menjeling ke arah jam yang menunjukkan pukul 2.45 pagi, dia sudah berkemas untuk menutup laptopnya dengan niat ingin memancing lena. Namun sebelum itu dia berlalu dulu ke bilik air bagi menyempurnakan wuduknya dan menyambung niat untuk menunaikan istikharah keduanya.

Ya. Istikharah kedua dalam dirinya. Kali pertama istikharahnya tiga tahun lepas (2008), juga kerana perkara yang sama atas usul jemaah, iaitu melalui majikannya ketika itu. Teringat lagi olehnya pada masa itu, pandangan yang kabur menyebabkan dia gagal mendapat keyakinan hati yang tepat. Akhirnya, semuanya ‘terpadam’ pabila terang-terangan dia usulkan untuk menyambung pelajaran dulu sebelum membina dan berkongsi hidup dengan orang lain. Apatah lagi pada masa itu dia hanyalah seoarang lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) aliran Sains dengan keputusan peperiksaan yang GAGAL. Tercabar dengan hamba ALLAH ‘cadangan’ yang pada masa itu lulusan Diploma dan berkerja dengan Majlis Daerah, dia nekad untuk  mengenggam segulung Diploma juga sebelum merancang kepada kehidupan yang lain. Tidak kisah dengan sesiapa pun. Dia terlalu nekad! Nasib keluarganya harus dibela juga sebelum membela yang lain. Itu azamnya, insyaALLAH. Dalam masa yang sama persoalan nakal timbul dalam mindanya.

‘ Bila agaknya nak dapat kad jemputan dari hamba ALLAH itu?’

Maksudnya, dia berharap hamba ALLAH yang juga baru setahun mendapat hidayat itu  agar menemui insan terpilih sebagai penggantinya. Ya ALLAH, sampai begitu sekali dia meminta. Jujur, bukan persoalan baru setahun usia islamnya itu yang menjadi persoalannya dia menolak dulu, tapi kerana masih belum bersedia dengan keadaan. Masalahnya sendiri pun belum surut, mahu di tambah lagi dengan orang baru. Ada harapan dia mati dalam tekanan jiwa kerana keluarganya juga masih menafikan tindakannya  pertamanya dulu. Teringat saja persoalan risikan itu, dia tergelak sendiri. Entahlah. Terasa kelakar pula. Manakan tidaknya, belum taaruf lagi dia sudah menolak awal-awal. Cukuplah sekali saja dia dapat melihat wajah hamba ALLAH itu; kali pertama dan juga terakhir ketika majikannya atau lebih mesra dengan panggilan Abang Long itu  membawa hamba ALLAH itu ‘food court’ tempat dia bekerja dulu, sebetulnya kedai milik Abang Long.  Lebih berasa selesa bila mana hamba ALLAH itu tidak sempat bersua muka dengannya kerana terpaksa pulang segera atas sebab peribadi. Secara tidak langsung itu juga ia memberi kebebasan kepadanya untuk melewati ruang depan pejabat Majlis Daerah setiap kali keluar ke bandar kecil tempat tinggalnya itu. Apakan daya, hanya itu saja laluan utamanya juga kepada orang awam yang lain; bangunan yang harus dilalui untuk ke barisan kedai-kedai utama juga ke bangunan bank-bank utama. Biarpun bandar Muadzam Shah  ini terlalu kecil baginya, namun kelengakapannya hampir setanding dengan bandar-bandar lain. Semakin membangun. Dengan sela masa 30 minit dari rumahnya juga membuatkan dia mampu melangkah ke bandar kecil itu setiap hari dan  melewati bangunan kerajaan itu dengan sebebas-bebasnya. Bebas kerana tiada yang memerhati dan mengenalinya secara dekat. Itu yang membuatkan dia semakin selesa dengan pembawaan dirinya.

Usai saja solatnya, dia melipat sejadah merahnya itu lalu diletakkan di birai kerusi di sudut meja ‘study’nya. Agak perlahan lakunya kerana sedang memikirkan sesuatu. Menilai diri seketika, betul atau tidak perlaksanaan solat sunatnya sebentar tadi. Tidak seharusnya dia meragui sebegitu, akan tetapi lantaran dia masih lemah dalam soal solat sunat yang satu ini, maka risau itu tetap ada. Dia sedaya upaya cuba mengunci bicara dan yakin. Beralih ke katil dia membaringkan diri pada lambungan kanan. Sekitar pukul 3.00 pagi kantuk sudah mula melambainya. Lantaran itu dia cuba mengosongkan fikiran dari pengaruh hati dan perasaan sendiri. Tidak putus-putus juga dia berzikir dalam hati demi memdapatkan naluri hati yang terpelihara. Cukuplah hanya nama Yang Esa diratibkan dalam hatinya pada saat ini; ALLAH, ALLAH dan ALLAH!

Dia terjaga. Terkebil-kebil dia seketika memikirkan sesuatu. Menilai sama ada dia dalam sedar, separuh sedar atau tidak sedar sebentar tadi. Pantas saja tangan kanannya mencapai handphone di sisi kanan bantalnya lalu meletakkan dia di lambungan kanan semula. Diamati betul-betul skrin ‘handphone’nya, dengan niat untuk melihat digit jam. Tepat 4.30 pagi! Lenanya hanya satu jam setengah. Terlalu singkat  baginya. Tidak pernah dia lena sesingkat itu. Dia terus teringat sesuatu yang pernah dikatakan oleh seorang teman dulu. Katanya, jika sesuatu itu hadir dalam tidur di waktu sebelum subuh, itu maknanya jauh dari godaan dan jelmaan syaitan; ia memang benar. Betulkah? Mengingatkan itu tiba-tiba dia berasa seram sejuk sehingga ditarik selimutnya ke paras bahu kirinya. Perasaanya terlalu berbaur. Galau dengan keresahan hati, akhirnya terlena juga dia sebelum terjaga semula pada pukul 6.00 pagi lalu membersihkan diri untuk solat subuh. Rutin hariannya masih seperti biasa. Dia memulakan paginya untuk ke kolej bermula pukul 8.00 pagi dan pulang semula ke hostel paling lewat pukul 8.00 malam. 12 jam di zon ilmu kadang-kadang tidak pernah menghalang dia untuk memikirkan perkara yang luar dari dunia kolej , termasuklah memikirkan tentang bayangan tidurnya semalam. Dia terlalu setia mentafsirnya. Berfikir dan terus berfikir tetapi masih tidak yakin dengan keputusannya. Dia masih risaukan kekotoran hatinya itu mempengaruhi keyakinan hati pada pintanya. Lantas dia berniat untuk  menyimpannya sekukuh yang mungkin di dalam hati tanpa mahu berkongsinya dengan sesiapa sekali pun.  Pada masa yang sama dia masih ingin meminta petunjuk lagi untuk beberapa kali lagi sehinggalah dia benar-benar yakin. Tidaklah terasa rugi padanya andai solat sunat dua rakaat itu ditunaikannya lagi selepas ini. Bukankah mencari yang betul-betul yakin itu perlu?

Selang beberapa hari dia kembali melewati laman istikharahnya. Itu pun setelah yakin hati kotornya dimujahadahkan sesempurna mungkin. InsyaALLAH…walaupun sukar tapi harus baginya. Kebiasaan seperti sebelumnya, lenanya menjemput sekitar pukul 2-3.00 pagi. Akan tetapi jaganya sekitar pukul 6.00 pagi, bukan seperti yang lepas. Dia tergamam lagi. Lain pula rencananya, sehinggakan dia terkejut bercampur gerun. Rasanya seperti dia baru keluar dari litupan salji pula. Tidak terasa dingin bekunya namun terlalu putih pandangannya sehinggakan dia terjaga dalam keadaan terkejut begitu. Secepat yang mungkin dia mengecilkan celikkan matanya. Lagaknya seperti silau dengan panahan cahaya pula. Ya. Itulah yang di alaminya sebelum dia terjaga sebentar tadi. Sehinggakan masih terasa lagi pandangan putih bersih itu pada layar matanya. Dia benar-benar seperti dikelilingi sidaian kain putih bersinar sehingga tidak ternampak warna lain walaupun setitik warna hitam. Subhanallah, Maha Suci ALLAH yang mengetahui segala maksud yang tersirat. Adakah petunjuk yang pertama dulu adalah sebaik-baik yang telah diberi?

‘ Ya ALLAH, Aku tiada kuasa merungkainya sebaik rungkaianMU Ya ALLAH.. maka kumohon petunjukMU pada hatiku yang lemah ini..’

Hari-hari yang berlalu dilalui dengan tenang walaupun hatinya tidak setenang dulu. Terasa sia-sia sebenarnya memikirkan persoalan yang tiada jawapan itu. Tapi hatinya masih kuat untuk menilai dan mentafsir naluri kalbunya itu.
                            
                              **************************************************

Hari ini merupakan hari cuti baginya dan rakan –rakan lain. Hari sabtu seperti ini biasanya dia dan rakan serumah pastinya akan memasak saja dirumah. Dia lebih selesa begitu, jimat sedikit. Sementara mengisi masa yang terluang antara memasak, sempat lagi dia membuka laman sosial ‘facebook’nya. Dia memang begitu, sengaja membiasakan diri membuat lebih daripada satu kerja pada masa yang sama. Sudah biasa sebenarnya. Sedang dia menyediakan bahan masakan, dia seketika menjeling ke skrin laptopnya. Ada satu mesej ‘chatting’ telah masuk. Dia meneliti nama yang tertera; terkejut. Tidak pernah ‘adik’nya ini menghubunginya melalui ruangan ‘chat’ melainkan ruangan mesej atau di ‘wall’ saja. Bukan tidak pernah, tapi sememangnya  dia yang meminta begitu; lebih selesa berhubung di ‘wall’ saja-pada sesiapa sekali pun. Dulu pun sewaktu mereka berhubung melalui telefon cepat saja dia meminta dihentikan; tidak selesa katanya. Dia yang secara tidak sengaja terberi nombornya pada seorang muslimin yang disangkakan perempuan melalui seorang teman. Walaupun atas dasar persoalan agama tujuannya, tapi dia tidak selesa begitu. Kerisauan terpesongnya niat hati menjadikan dia terlalu ‘menyimpan’ nombor telefonnya itu. Pada muslimin yang dianggap adik ini diminta agar memadamkan nombornya dari senarai telefonnya, seperti mana dia juga tidak pernah menyimpan nombor muslimin ini melainkan berhubung melalui nombor rakannya itu saja. Alhamdulillah, cadangannya itu diterima baik oleh ‘adik’nya itu.

Segera dia membuka ruang ‘chat’ yang terisi dengan salam yang mulia itu. Sebaik yang mugkin dia menjawabnya dalam taipan tulisan. Pertanyaan khabar juga dijawab baik antara dua-dua pihak. Selebihnya, mereka berkisahkan pula tentang pelajaran dan kampus. Dia cuba mencari keselesaan sebenarnya, kerana sudah terfikir satu persoalan penting untuk ditanyakan pada ‘adik’nya itu. Kebetulan atau atau tidak, sepertinya ‘adik’nya ini memahami keadaanya yang resahkan sesuatu. Dia juga percaya ‘chat’ yang pertama kali dengan ‘adik’nya ini adalah ketentuan ALLAH. Alhamdulillah, dia sangat-sangat bersyukur kerana ALLAH sentiasa membantunya.

Istikharah. Ya, persoalan itu masih belum jelas padanya. Lalu secara berhemah, dia suakan soalan itu.

-Dik, macam mana nak dapatkan jawapan istikarah tanpa dipengaruhi perasaan..-

Antara malu dan segan ,dia menyuakan juga persoalannya. Lama juga persoalan itu tergantung. Selepas belasan minit barulah soalannya berjawab.

-Kak..hati kita tak pernah menipu..jawapan istikarah datang daripada keyakinan..jadi akak harus percaya pada hati akak..-

Jawapan yang padat diberi. Namun dia masih meragui.

-Keyakinan hati itu..sememangnya bukan kerana nafsu sendiri?
Keyakinan bukan datang dari keinginan ke? Keinginan itu bukan kerana nafsukah?-

-Akak..dalam diri manusia ada tiga elemen..akal,naluri dan nafsu. Kalau naluri  campur dengan akal yang sejahtera, hasilnya positif..itulah keyakinan. Tapi kalau akal campur dengan nafsu..maka hasilnya dendam dan amarah..-

Masih setia menjawab, ‘adik’nya itu menjelaskan lagi. Dan bila sudah dapat bersoal jawab, sememangnya banyak yang ingin dia tanyakan dan ingin tahu. Lalu dia bersoal lagi.

-Dalam konteks istikarah ni..kalau akal campur nafsu?-

-Bukan hasil lagi kak..pasti ada silap niat ataupun cara..-

Dia termenung seketika. Cuba memahami penjelasan tersebut dalam masa yang sama mengingat kembali segala gerak laku dan hatinya sebelum ini. Niat dan caranya. Seiringkah? Seingatnya, sebelum lena dia dalam keadaan tenang dan kosong fikiran. Malahan hatinya berzikir dengan memuji ALLAH. Lenanya dibuai tanpa sedar sehinggalah satu jam setengah selepas itu baru dia terjaga. Dalam hati pula, sebelum lena dia meminta, agar dia dibukakan hati dan minda, diberi petunjuk yang terbaik untuk diri, keluarga dan paling penting untuk agamanya. Itulah yang sebaik-baik permintaan.

 “…Ya Allah, jika pada pengetahuanMu perkara ini baik bagiku baik didunia dan diakhirat, teguhkanlah ia bagi ku, mudahkanlah bagiku, dan berkati ia bagi. Dan jika pada pengetahuanMu ia adalah sesuatu perkara yang buruk untukKu dan juga agamaku, kehidupanku dan kesudahanku, maka jauhilahKu daripadanya, dan pergantikanlah kepadaku apa yang baik, dan redhakan aku dengannya."
(HR Bukhari)

Dalam lena dia di situasi sesuatu sebenarnya. Dalam usaha dia mengunci bicara, dia sedang berebut dengan dengan diri sendiri. Suara itu meminta agar dia berdiam diri tidak berbicara. Namun tidaklah dia kisahkan kerana dia percaya itu adalah faktor yang dipengaruhi sebelum tidurnya tadi, yang mana dia berusaha agar tidak bercakap. Namun diakhir sebelum dia terjaga, tiba-tiba saja dia terlihat gambaran sesuatu yang sangat jelas. Dari berwarna gambaran itu berubah kepada warna hitam putih dalam sekelip mata. Serentak itu dia terjaga. Gambaran yang wujud saat akhir itulah yang membuatkan dia terkejut lalu terjaga sebenarnya. Perasaan berbaur, antara percaya dan tidak, antara gembira dan keliru. Percaya dan tidak kerana inilah kali pertama dia mendapat jawapan yang jelas. Gembira kerana keliru hatinya diberi petunjuk. Namun dia masih keliru adakah itu yang dia mahu. Pentingkah persoalan jodoh itu buat masa sekarang? Entahlah. Arh!!binggung dia memikirkannya.  Tapi dia harus bersedia untuk sebarang kemungkinan. Dia juga harus terima takdir ALLAH andai jodohnya sudah sampai. Dia benar-benar bersedia kerana memikirkan sudah banyak kali dia mengelak daripada memikirkan secara serius persoalan itu. insyaALLAH..

Dan sekarang lagi bertambah binggung bila dia teringatkan kata ‘adik’nya sebelum ini.

‘..hati kita tak pernah menipu..jawapan istikarah datang daripada keyakinan. Jadi akak harus percaya pada hati..’

‘Ya. Aku percaya pada keyakinan hati. Tapi memadaikah hanya aku saja yang yakin? Dan mereka, akukah yang diyakini?’ Subhanallah, yang Maha Mengetahui segala sesuatu lebih daripada hambanya…
Seniornya itu, tiada apa-apa perkembangan. Sahabat terbaiknya di alam maya itu juga, tiada perkhabaran. Jadi siapa yang dia yakini sebenarnya???

Biarkan ALLAH menyimpan jawapannya, kerana dia yakin jawapan dan ketentuan ALLAH lebih sempurna daripada jawapan yang dia ada.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)


"..Reda dengan ketentuan dan ketetapan Allah SWT itu lebih utama kerana menghadirkan kegelisahan hati  si dia itu adalah dosa.."
-ustaz Hasrizal : Iluvislam.com




ALLAHU AKBAR!!  

No comments:

Post a Comment