WELCOME TO MY BLOG....ASSALAMUALAIKUM WTH...:)

AIMAN ROSNARA... kehidupan ini satu perjuangan.. kehidupan ini satu pencarian.. berjuanglah untuk terus hidup.. teruskanlah mencari jati diri.. siapa kita di muka bumi ini.. siapa kita pada ilahi.. siapa kita pada agama islam yang suci.. siapa kita pada family.. siapa kita pada diri sendiri.. carilah..

Saturday, 21 May 2011

..BERTAKHTA DI HATI...



Bismillahirrahmanirrahim…

Ya ALLAH..
Hatiku ini luluh lakunya..
Terlalu lirih suaranya..
Mudah pincang getarnya..
Berdebar-debar degupannya…

Ya KHALIQ..
Jiwa hambaMU ini terleka lagi..
Jiwa yang jarang suci ini kembali kotor dengan nafsu..
Jiwa ini sudah hilang pertimbangannya..
Rawannya mula menguasai diri..

Ya RABB..
Kiranya sekeping hati yang tidak bermaya ini telah tersentuh rasa..
Hadirkan padanya rasa yang mententeramkan jiwa dan naluri..
Andainya jiwa ini sudah rawan pada cinta hambaMU..
Wujudkan padanya keredhaan andainya nanti kecewa mula bertakhta di hati..


Astaghfirullah al adzim..

21/05/2011-11.20pm..

Saturday, 14 May 2011

Jika KAU-lah sandaran hati...




Yakihkah kuberdiri dihempa tanpa tepi
Bolehkah aku mendengarMU

Terkubur dalam emosi tak bisa bersembunyi
Aku dan nafasku merindukanMU..

Terkurung ku disini terangi dia yang sepi
Dan kutahu pasti KAU menemani..
Dalam hidupku kesendirianku..
 
Teringat ku teringat pada janjiMU kuterikat
Hanya sekejap kuberdiri kulakukan sepenuh hati
Peduli kupeduli siang dan malam yang berganti
Sedihku ini tak ada erti jika KAU-lah sandaran hati..
KAU-lah sandaran hati..

 
Inikah yang KAU mahu benarkah  ini jalanMU
Hanyalah ENGKAU yang kutuju..

Pegang erat tanganku bimbing langkah kakiku
Aku hilang arah tanpa hadirMU..
Dalam gelapnya malam hariku..

Tuesday, 10 May 2011

semoga cinta kita bahagia



YA KUMOHON APA YANG TELAH KAU TAKDIRKAN..
KUHARAP DIA ADALAH YANG TERBAIK BUATKU..
KERANA KAU TAHU SEGALA ISI HATIKU..
PELIHARALAH DAKU DARI KEMURKAANMU..

Friday, 6 May 2011

Apabila manusia gagal mencintai ALLAH, maka cinta sejati tidak akan ditemuinya...



…Cinta itu hanyalah secebis rasa dari syurga ALLAH yang jatuh  ke bumi bagaikan setitis air yang menitik jatuh ke tanah yang gersang, kering dan kontang dan bagaikan setitik air yang menitis di lidah pengembara di Gurun Sahara. Cinta itu sebenarnya adalah rasa, bukannya kejadian. Cinta tidak boleh diada-adakan kerana ia telah sedia ada. Cinta tidak perlu dicari kerana cinta itu ada di mana-mana kerana cinta itu hak Yang Esa. Cuma apa yang perlu dicari ialah erti cinta…

Cinta adalah iman dan keimanan juga yang menentukan ketahanan dan kesetiaan cinta..

Apabila manusia gagal mencintai ALLAH, maka cinta sejati tidak akan ditemuinya.

Cinta yang tulus ikhlas lahir daripada sikap, perbuatan dan tindak balas, bukan daripada kata-kata bermadah walaupun terlalu indah..

Cinta adalah milik ALLAH, datangnya dari ALLAH, maka ia juga harus berlandaskan kepada ALLAH dan pulang kepadaNYA walau dalam apa keadaan sekalipun…





Tuesday, 3 May 2011

RAMADHAN CINTAKU-KEMBARA HATI…




15 Dis 2010-Nilai-KL-Pahang
Aku meninggalkan bandar Nilai bersama seorang teman menuju ke KTM Nilai. Berdua dengan seorang rakan sekelasku, Mohd Naziem sememangnya menghadirkan 1001 rasa dalam hati.  Bukan niatku untuk berasa begitu, tapi kerana aku perempuan dan dia lelaki maka seharus aku merisaukannya sebegitu. Sebagai manusia, aku dan dia fitrahnya dijadikan dengan akal, kalbu dan nafsu.
Pada satu sudut, aku merasakan selesa dan selamat kerana aku bersama seorang lelaki yang kuanggap seperti adikku sendiri. Kurasakan dia juga seorang yang mampu melindungiku kala susah menerpa. Tambahan pula fizikalnya yang berbadan tegap dan berotot. Agak kelakar tanggapanku itu tapi aku masih mengharapkan ia menjadi kenyataan andainya kesusahan bertamu padaku dalam perjalanan nanti. Sebetulnya pada perjalanan kami nanti. Aku tidak meminta malahan mengharapkan agar di jauhkan dari segala bala dan kesukaran dalam perjalanan nanti. Namun dari satu sudut yang lain, aku masih berasa risau dan kurang selesa. Masakan tidak, aku masih seorang perempuan, dia masih seorang lelaki dan masih bukan muhrim. Jika cinta dan kasih tidak mengenal sesiapa, dosa dan pahala, maksiat, zina dan nafsu juga tidak mengenal usia, sesiapa dan masa, kan? Terlalu banyak perkara yang aku harus risaukan. Mungkin dalam kesesakan merebut ruang dalam bas menuju ke KTM nanti, aku harus mengisi ruang antara dia dengan orang awam yang lain. Atau mungkin nanti ketika dalam KTM aku harus mengikutinya masuk ke dalam koch lelaki demi tidak mahu terlepas stesen iaitu ke Bandar Tasik Selatan. Andai ruang tersebut masih lompang, itu tidakklah aku risaukan kerana aku boleh mencari ruang ke sisi lain, tapi aku lebih risaukan andainya nanti ruang itu telah penuh dengan penumpang yang telah sedia ada dan kesudahannya nanti aku mungkin harus berhimpit di antara kaum adam yang ada di situ, sebetulnya dengan muslimin yang kuanggap adikku ini. Bukankah itu tidak manis? Lagi membuihkan gelora hati dan dosa pula nanti.
Sebenarnya, sedari semalam aku pertimbangkan persoalan itu. Bagaimana harus aku mengelaknya, juga telah penat aku fikirkan. Lalu aku teringat pada satu pepatah melayu, “ mahu seribu daya, tidak mahu seribu dalih ”. InsyaALLAH, aku akan cuba sedaya upaya mengelak segala kemungkinan itu berlaku.
Alhamdulillah, pagi ini perjalananku bersama rakan sekelasku yang kuselesa memanggilnya Ajim ini, berjalan dengan lancar tanpa sebarang rasa yang tidak selesa. Sebaik saja melangkah ke dalam perut bas aku mengekori Ajim ke ruang tengah bas. Sengaja aku biarkan dia dulu yang menaiki bas dan mencari tempat duduknya dulu agar aku dapat mencari tempat yang selesa nanti. Paling penting aku tidak mahu duduk bersebelahan dengannya. Bukan kerana hinanya dia, tapi siapa tahu mungkin kerana hinanya aku. Aku tidak selesa begitu; mungkin juga dia pun berasa sedemikian. Jika tidak, masakan dari tadi bicaranya banyak mengunci kata dan bercakap hanya bila perlu saja. Sedangkan di dalam kelas aku dan dia boleh bergelak ketawa lagi bersama rakan-rakan yang lain. Jika ada pun hanya sepatah dua saja seperti pada awal pagi tadi. Semuanya berpunca daripada kelewatanku bangun pagi.
“ Sorry la Ajim, akak terbangun lambat tadi..nak dekat pukul 8 baru terjaga..” luahku minta pengertian walaupun sebenarnya dia yang terlewat turun tadi. Tetapi silapnya masih pada pihakku. Jikalau tidak kerana aku yang meminta masa lebih, tidaklah adikku ini lewat turun tadi. Aku memandang wajahnya sekilas sebelum beralih pandang ke depan. Serta-merta kuteringat janji semalam yang merancang ingin bertolak pada pukul 8 pagi dari hostel. Sebaliknya pukul 8.30 pagi baru kedua-duanya seiring. Sangkakan aku yang terlewat, rupanya aku yang menunggu. ‘Ah! Semuanya dah terbalik dalam sekelip mata. Hehehe..’ ketawaku dalam hati.
“ Haa..Akak tak sembahyang subuh la ni? ” soalnya dalam gurauan namun masih nampak keprihatinannya.
“ Eh..mana ada. Akak sembahyang la.. Cuma..tertidur lepas subuh tadi. Tu yang bangun lambat. ” tidak berniat untuk bergurau aku membalas dengan serius. Itulah tabiat subuhku. Pasti akan tertidur selepas sembahyang subuh. Kalau tidak atas katil, atas sejadah pun menjadi juga lenaku walaupun sekadar 10 minit.

Pada masa ini, mujur juga penumpang agak berkurangan jadi aku mengambil tempat yang satu baris melintang ruang tengah bas, yang diselangi dua kerusi kosong. Aku di sisi kanan, dan Ajim di sisi kiri; masing-msing di tepi tingkap.
Sampai saja di Stesen Bas dan KTM Nilai, aku dan Ajim berjalan terus menuju ke kaunter membeli tiket KTM menuju ke Bandar Tasik Selatan. Dengan harga tiket RM 4.30 sekeping, kami membeli dengan tangan masing-masing. Seterusnya aku dan Ajim menuju ke tempat menunggu KTM yang akan sampai tidak sampai 15 minit lagi. Di sini kami secara kebetulan berjumpa denga rakan sekelas yang datangnya dari negeri bawah bayu, tajaan Yayasan Sabah. Khabarnya mereka akan terbang ke Sabah hujung minggu ini. Mendengar khabar itu, aku dan Ajim hanya mampu tersenyum sebagai tanda gembira. Mungkin kerana selesa dengan rakan-rakan yang ramai, Ajim semakin galak bicaranya, lantas mengusik seorang rakan kelasku yang sememangnya agak comel dengan calitan solek yang vogue mengikut aliran pada masa kini. Sejujurnya, aku pun semakin selesa. Sedang masing-masing rancak berbual, secara serentak pandangan masing-masing menoleh ke sisi kanan stesen. Sudah jelas kelihatan bayang-bayang hitam di hujung landasan. KTM yang akan menuju ke Bandar Tasik Selatan akan sampai tidak lama lagi. Aku memandang Ajim agak lama, masih dengan lagak selamba. Sedangkan dalam diam aku mengisyaratkan satu persoalan. Mungkin memahami isyarat itu, Ajim bersoal kepadaku pula.
“ Nak Ajim naik koch wanita ke?” soalnya spontan.
“ Boleh ke? Tak kena halau ke dengan sekuriti nanti?” masih memikirkan perasaan malunya aku bersoal begitu. Pada masa yang sama aku meminta pendapatnya. Jika dia masih mampu menebalkan muka 14 inci, sejujurnya aku tidak kisah jika dia yang mengikutku  masuk ke koch wanita. Tapi andainya aku yang harus masuk ke koch lelaki, aku perlu memikirkannya lebih daripada 10 kali sebelum memberi jawapan. Pada asalnya aku telah lama ada jawapannya. Memandangkan KTM  sudah tepat berhenti di depan kami, dia membuat keputusan pantas namun tepat.
“ Akak naik koch wanita lah, nanti kita turun kat stesen Tasik Bandar Selatan je.” dengan bermaksud kami berpecah ke koch masing-masing.
Dalam diam aku tersenyum sebenarnya kerana aku mampu mengelak sebarang kemungkinan yang aku fikirkan sedari semalam lagi. Kerana mengingatkan satu artikel yang aku baca di laman sesawang iluvislam.com, berkisahkan sepasangan remaja yang menaiki KTM  yang terpaksa berhimpit dengan lelaki lain sehingga menjadikan kedudukan pasangan itu semakin lama semakin rapat; sedekatnya mereka dengan dosa. Minta aku dijauhkan, Ya Allah!
Alhamdulillah, dalam koch wanita aku mendapat tempat duduk, setentang pula tu dengan rakan sekelasku tadi. Sememangnya aku benar-benar mendapat suasana yang selesa. Sejenak aku terfikir, andainya aku di koch lelaki tadi berapa jaminan yang aku akan dalam keadaan selesa begini? Akhirnya aku tersenyum sendiri. Perjalanan ini terasa agak jauh kerana ini adalah kali pertama aku pulang ke kampung mengikut laluan Nilai-Kuala Lumpur- Jerantut. Jika tidak kerana Ajim yang minta temanknnya untuk balik ke Jerantut, aku tidak terfikir untuk ke sana. Ini bukanlah kali pertama dia mengajakku balik bersamanya ke Jerantut, kukira sudah lebih daripada tiga kali. Memandangkan sudah kerap  dia memintaku menemaninya untuk balik ke sana, jadi kufikir apalah salahnya aku bersetuju. Dalam masa yang sama aku telah merancang untuk ke rumah Kak Ida sebenarnya. Sudah lama aku merancang begitu. Cuma menunggu masa saja untuk memulakan. Bagaikan orang mengantuk di sorong bantal aku mengambil peluang ini. Seperti yang dirancang, ajakkan Ajim aku niatkan untuk ke rumah Kak Ida dulu sebelum aku pulang ke kampung halamanku jauh di pedalaman Jerantut. Ada banyak perkara yang ingin aku kongsi dan adukan. Ingin sekali rasanya aku kongsikan rasa hati yang berat dengan perasaan ini. Terlalu banyak yang ingin aku adukan rasa lara sekeping hati ini. Tapi kenapa Kak Ida?? Entahlah. Mungkin  kerana kurasakan Kak Ida sajalah yang benar-benar tahu akan kisah aku dan muslimin itu. Dan aku benar-benar berharap agar Kak Ida dapat memberikan aku jawapan dan penyelesaian yang terbaik dalam aku membuang segala kenangan yang tidak halal itu. Aku benar-benar mengharapkannya..
Setelah melalui beberapa stesen, akhirnya aku dan Ajim sampai di stesen Bandar Tasik Selatan. Secepat yang mungkin aku keluar dari gerabak KTM agar aku tidak tertinggal. Keadaan gerabak yang sesak kerana kemasukkan penumpang dari beberapa stesen tadi menjadikan aku harus bersesak-sesak begini. Paling tidak pun aku tidak perlu membiarkan si adikku itu menunggu terlalu lama kerana sedari awal tadi tingkahnya mahu cepat sampai ke rumah. Rindu emak, katanya. Hampir tergelak aku setiap kali aku mendengar alasannya itu. Sememangnya adikku yang seorang ni anak emak barangkali. Tapi bila aku suakan tanggapanku itu terang-terang padanya, cepat saja dia menyangkal. Dan setiap kali itu juga aku sudah tergelak dengan gelabahnya. Sangat mencuit hati, mahu menyangkal sesuatu yang sudah terang nyata. Mungkin malu agaknya hendak mengaku, dan kerana malu itulah aku terkesan telinga capangnya pasti akan kemerah-merahan.
Seperti biasa, kerana tidak tahu jalan yang mana akan kami lalui, aku hanya mengekorinya dari belakang. Sekali sekala aku cuba seiring jalan dengannya. Aku hanya mengikut geraknya tanpa banyak soal kerana sejak tadi lagi kami bermain dengan masa. Paling penting hendak merebut tiket bas di Titiwangsa nanti. Untuk ke sana kami menaiki LRT KL Transit. Kali ini hanya tangan Ajim yang membeli kedua-dua tiket, sedangkan aku pula dimintanya untuk menunggu di sebelah depan;  mendahuluinya. Aku hanya menurut tanpa sebarang soal. Aku cuba berlagak tenang walaupun sebenarnya rasa dalam hati tidak begitu. Aku sendiri pun tidak tahu kenapa aku harus berasa begitu. Yang pasti aku tidak pernah risaukan tentang perjalanan ini. Ada perkara lain yang aku risaukan di kala ini.
Ajim mendekatiku setelah selesai melalui bahagian ‘scan’ tiket. Diserahknnya sekeping tiket kepadaku dan sekeping lagi untuknya. Setelah itu dia meneruskan langkah ke tangga sebelah kiri dan aku mengekorinya. Sesaat saja dia sudah berpatah arah ke belakang. Aku terkesima lantas memandang tepat ke wajahnya. Agak terpinga-pinga.
“Erk, salah!..” jelasnya, lalu menyambung lagi. “..ikut tangga ni..”, masih tertunduk muka dia melangkah. Spontan itu juga aku tergelak kecil, setelah lama mengunci bicara. Bukan sengaja tapi seperti yang kukatakan tadi keadaan tidak mengizinkan untuk aku dan dia berbual pada masa ini. Masa itu terlalu mencemburui!
“ Kau ni Ajim…biar betul…” dengan nada bersenda aku meyambung tawa. Mencuba untuk ‘cover macho’ itu yang menjadikan aku geli hati sehinggakan tertawa di khalayak ramai. Mujur saja pada masa itu tidak ada yang memandang. Masing-masing sedang mengejar destinasi sehinggakan tidak sedar lawak kecil sedang berlaku di tengah-tengah ruang legar itu. Hehe..

Aku kini berada di stesen LRT Transit KL menuju ke Titiwangsa. Masih tiada bicara aku dengan Ajim. Jika ada pun tak mungkin adikku ini akan mendengarnya kerana sejak dari tadi lagi telinganya telah disumbatnya dengan ‘ear-phone’. Aku pula lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada perjalanan yang aku lalui buat pertama kali ini. Bukannya apa, senang nanti andainya aku harus melalui perjalanan ini sendiri di lain kali. Seketika aku memandang ke sekeliling. Tidak ramai yang sedang menunggu di stesen pada saat ini. Lebih kurang 20 orang saja pada kiraanku. Mungkin juga nanti keadaan dalam LRT tidak begitu sesak, jadi tidak perlu aku bersesak lagi. Ah! Aku masih setia memikirkan persoalan pertama tadi. Lagi kerap kerana LRT semestinya akan mencampurkan penumpang wanita dan lelaki. Aku lebih setia memikirkan penyelesaiannya andai kata keadaan itu terjadi. Tidak  mungkin aku akan bersentuhan badan dengan adikku yang bukan muhrim bagiku ini. Bukankah para sahabat nabi junjungan pernah berkata bahawa lebih baik andainya menyentuh kulit khinzir daripada menyentuh kulit yang mahram bagi kita. Jika tersentuh kulit khinzir, masih mampu disamak maka hilanglah status haramnya. Tapi andainya bersentuhan dengan kulit mahram, maka apalah yang mampu dilakukan untuk menghilangkan status haramnya itu? Jika disamak sekalipun, soal haram dan dosa sudah kekal tercatit oleh malaikat dalam buku amal, dosa dan pahala. Wallahu’alam.
Keadaan dalam LRT tidak seperti yang aku sangkakan. Masih tetap sesak seperti sebelumnya. Mujur saja aku masih di kelompok muslimat bersama-sama dengan wanita yang lain, walaupun jarak aku dengan Ajim hanyalah tiga langkah. Kedudukan kami setentang malahan saling berpandangan. Bagiku, kedudukan seperti ini masih menimbulkan ketidakselesaan. Sebagai seorang perempuan, aku sememangnya dijadikan dengan perasaan segan dan malu. Hakikatnya setiap insan itu kejadiannya di hadirkan perasaan malu. Cuma terpulang kepada insan itu sahaja, samada mahu memelihara rasa itu dalam diri atau mencampakkannya keluar dari hati. Bukankah malu itu perisai orang yang beriman? Semoga aku kekal tergolong dalam orang-orang yang punyai rasa malu dan beriman. Dia juga. Buktinya, adikku ini masih menoleh kebelakang walaupun badannya berdepan denganku. Kesudahannya, dia beralih badan dan pandangan ke sisi kirinya iaitu sisi kananku. Hanya dua buah beg yang sederhana besarnya menjadi perantaraan antara kami. Alhamdulillah, Allah masih melindungi kami dari maksiat mata dan hati. Dan semoga Allah terus melindungi pada masa akan datang kerana aku dan dia sedang berkongsi palang yang sama untuk berpaut tangan. Cuma bezanya, tangan dia di atas dan tanganku di bawah pada jarak dua jengkal!
Semakin masa berlalu, semakin ramai penumpang yang turun dan semakin berkurangan juga penumpang yang berada di dalam gerabak itu. Si adikku ini mula melangkah ke sisi kanan, menyandar di tepi pintu. Aku pula masih setia berpaut pada palang bersama dua tiga orang lagi wanita lain. Ruang ini aku rasakan semakin selesa daripada sebelumnya. Terima kasih tuhan. Waktu demi waktu, terasa selesa sehinggakan aku dan adikku ini mendapat tempat duduk walaupun jauh di antara 2meter jaraknya, tapi masih dalam gerabak yang sama. Hampir 15 minit perjalanan, kakiku sudah menjejak bumi kota Titiwangsa. Aku dan Ajim menuju ke mesin pengimbasan tiket LRT. Langkahku dan Ajim sudah mula songsang. Ajim, tanpa sedar sebenarnya dia telah meninggalkan aku jauh di belakang. Aku pula kelam kabut memasukkan kad transit ke mesin pengimbasan sambil pandangan mataku merayap ke depan mencari adikku itu. Selesai saja kadku diimbas, tiba-tiba tertera tulisan merah dengan nombor. Aku dapat mengagak sesuatu tapi masih mencuba nasib dengan menolak palang bercabang tiga di depanku. Namun tidak seinci pun ia berputar. Ya Allah! ‘ Memang aku dah terkena ni. Tiba-tiba pula buat hal! ’ marahku dalam hati. Aku cuba berpatah balik ke belakang dan memasuki mesin ke dua. Ah! Masih dengan keadaan yang sama. Jelas sangat kad aku ini yang bermasalah. Hendak berpatah balik ke belakang, tiba-tiba pula seorang wanita pertengahan 30-an menyuruhku terus ke depan. Dengan pandangan yang terpinga-pinga kutolak palang tiga didepanku ini. Tidak berganjak. Kucuba sekali lagi menuruti arahan  wanita yang tidak kukenal itu. Berpusing dan aku lepas melaluinya! ‘ Dia menggunakan kadnya ke? ’ Soalan itu tiada jawapnnya kerana  aku bersoal dalam hati. Sambil melangkah ke depan, sekilas aku menoleh ke belakang memandang wanita yang baik hati itu. Aku cuba memandang wajahnya dan tersenyum tapi tidak lama bertahan. Lalu aku tertunduk. Malu. Aku benar-benar malu. Apa silapnya tadi sampai jadi macam tu?? Aku juga tidak menyangka dalam kesesakan manusia di tengah bandar ini, masih ada juga yang berhati mulia. Syukran Ya Allah!
Tidak jauh di depan aku sudah dapat menangkap bayangan Ajim sedang menungguku di satu sudut.
“ Kenapa tadi kak? ” soalnya dengan riak muka yang bersahaja. Jelas dia tidak tahu apa- apa tentang kejadian sebentar tadi. Aku yang sedari tadi merah muka menahan malu sudah tidak mampu menahan tawa lagi. Tergelak juga aku ditepi tangga yang menjadi laluan orang ramai itu. Sungguh, aku tidak menyangka begitu jadinya. Sehinggakan tidak terjawab soalan yang ditanyakan kepadaku sebentar tadi.
“ Tak ada apa-apa. Jomlah cepat. ” terangku setelah reda dari tawa. Malas hendak melayan soalan yang meminta jawapan yang memalukan itu. Terasa hendak marah pun ada juga. Tapi memikirkan tiada siapa yang salah, terus aku diamkan saja. Lagi aku malu andainya adikku yang mudanya setahun daripada aku ini mentertawakan aku nanti. Oh, tidak!
Mungkin kerana merasakan tiada yang penting untuk dijawab, Ajim berlalu memanjat tangga menuju ke tingkat atas sebelum menuruni tangga yang tidak bergerak itu menuju ke tingkat bawah lalu membelok ke kiri. Aku masih setia mengekorinya dari belakang sehingggalah aku dan dia sampai di sebuah bangunan kecil juga di sekitarnya terdapat beberapa buah bas. Hentian bas ini kelihatan kecil tapi siapa sangka perkhimatan yang disediakan semuanya adalah bas express. Aku beratur di belakang Ajim, menunggu giliran untuk mendapatkan tiket bas perjalanan ke Pahang. Pada masa yang sama, mataku melilau ke sekitar nota-nota yang di tampal di dinding, mencari senarai harga tiket supaya mudah untuk aku menyediakan wang yang cukup. Setelah tidak jumpa apa yang kucari, kutanyakan kepada Ajim pula.
“ Berapa Ajim harga tiket?”
Tanpa menoleh ke belakang dia menjawab “ Tu..ada kat nota tu..”
Sekali lagi aku mencari, agak berhati-hati aku meneliti. Aku menarik nafas lega setelah menjumpai senarai harga tiket yang dimaksudkan. Tiba-tiba aku berasa sesuatu yang pelik. Bukankah tadinya aku sudah meneliti di situ? Ah! Apalah agaknya yang aku fikirkan hingga aku tersasar dari dunia nyata.
“ RM16.80 ”aku menyebutnya sekadar untuk diri sendiri. Terdengar pula suara si Ajim bertanya kepada kerani di kaunter tentang harga tiket. Sekadar untuk bertanya barangkali. Aku cuba berfikiran terbuka walaupun terasa pelik. Sudah tahu bertanya lagi ke?
“ RM16.80 ” suara si kerani pula menjawab.
Sejenak Ajim menoleh ke arahku, lantas kuhulurkan duit tambang  yang telah kucukupkan kepadanya. Selang beberapa minit dihulurkannya pula dua keping tiket kepadaku. Secara tidak sengaja kami memegang tiket yang sama untuk melihat nombor yang tertera di atas tiket tersebut; 19 dan 20. Teringat aku pada pintanya sebentar tadi.
“ Kak, nanti Ajim nak duduk sebelah tingkap tau. ” lirih dan manja pada pendengaranku.
Agak terkesan di hatiku sebenarnya. Dan lebih jujur lagi, aku lebih suka memanjakannya sebagai seorang adik sahaja. Cukuplah sebagai seorang adik. Itulah sikap semulajadinya yang aku memang senangi. Manja namun kadang kala dia mampu melindungi yang lain , sepadan dengan jiwa lelakinya. Mendengar ulahnya begitu, aku hanya merenungnya sambil tersenyum dan mengangguk. Entahlah. Aku pun sememangnya lebih selesa duduk di bahagian luar atau tengah bas. Melainkan dengan muhrim, maka tiada masalahnya samada aku duduk di dalam; tepi tingkap atau di ruang jauh dari tingkap. Kiranya pintanya sebentar tadi benar-benar memberikan aku keselesaan yang berterusan. Segala puji yang tidak terhingga untukMu Ya Allah.
Tiket bas aku dan Ajim akan bertolak pukul 10.30 pagi nanti. Tinggal lebih kurang 10 minit saja lagi untuk bas kami bertolak.
“ Akak tak nak makan ke? Sempat lagi ni.” Mungkin kerana masa menunggu dirasakan agak panjang, dia menyuarakan soalan itu.  Aku pula berfikir sejenak, ingin makan tapi bimbang tidak sempat pula nanti. Lantas aku berterus terang, “ Sempat ke Ajim? Sekejap lagi bas nak gerak dah kan?” aku  mengingatkan sambil meminta kepastian, sedangkan sudah aku sedia maklum sekejap lagi bas ini akan bertolak.
“ Ah, boleh saja Kak kalau nak makan. Sempat lagi ni. Takpa, bas ni tunggu nanti.” dengan tenang dia meyakinkanku. Bagiku pula, selagi tidak diserang gastrik tidak menjadi masalah untukku tidak makan. Memikirkan persoalan itulah aku menolak saja perlawaannya itu.
“ Takpalah Ajim. Biarlah dulu..” aku meyakinkannya juga sambil tersenyum.
Alhamdulillah, aku masih lagi tidak terasa pedih perut. Mungkin kerana ‘kenyangnya’ aku mengingati Allah dalam hati tadi menutup segala rasa yang tidak selesa dalam diriku sehingga kini. Aku masih teringat kata-kata Abang Long, bosku sewaktu aku kerja di ‘Foodcourt’ UNITEN dulu. Pesannya, jika kita selalu berzikir menyebut nama Allah dalam setiap masa dan perbuatan, maka zikir itu akan mengatasi segala rasa. Baik rasa lapar, resah, rasa malas mahupun segala rasa yang kurang selesa. Sesungguhnya, zikir itu mengingatkan dan mendekatkan diri kepada Allah. Syukran.

Lewat pukul 10.30 pagi pintu bas sudah dibuka. Sebelum menaiki bas aku dan Ajim membeli minuman yang di jual di gerai yang berhampiran. Sebetulnya, aku yang mengikuti jejak Ajim ke gerai tersebut walaupun pada asalnya aku menolak sebentar tadi. Aku memilih air 100 Plus sementara Ajim pula mengambil satu tin Red Bull dan sebungkus nanas potong lalu dia membayar kesemuanya. Aku menghulur not biru dua keping kepadanya, sebagai bermaksud membayar air 100 Plus yang dibayarkannya sebentar tadi. Sebaliknya dia menolak.
“ Takpalah Kak, biar jelah..” Aku terkesima namun tersenyum dalam hati. Secara rasminya aku dibelanja oleh adikku ini! J
Selepas menyerahkan tiket kepada staf yang bertugas dalam bas, aku dan Ajim ke ruang tengah mencari tempat duduk masing-masing; 19 dan 20. Sesudah menjumpai nombor kerusi yang dicari, aku dan Ajim serentak memandang antara satu sama lain. Sebelum pandangan kami jatuh pada tempat yang sama, kerusi yang bernombor 19 dan 20 itu. Dua buah beg telah sedia ada di situ. Namun belum sempat aku dan Ajim bersoal jawab, seorang lelaki menonjolkan diri lalu mengambil kembali barangnya dan meminta maaf. Aku dan Ajim hanya tersenyum. Tersenyum, tersenyum dan tersenyum. Tiada lain yang mampu kupamerkan kala ini. Sekurang-kurangnya, senyum itu akan merawat hati yang sakit, jiwa yang resah lalu mempamerkan wajah yang tenang dan terjalinnya ukhuwwah; itu kata seorang temanku dulu. Insya-Allah.
 Setelah aku dan Ajim duduk di kerusi masing-masing, aku melihat Ajim membuka beg galasnya dan mengeluarkan sesuatu.
“ Pakai ‘sweater’. Sejuk..” sekilas dia memandang ke arahku lalu meyarung sweater hitam itu ke badannya. Secara spontan aku juga menyarung sweater warna ungu yang sememangnya aku pegang setelah meletakkan beg dalam ruang bawah bas tadi. Itu pun si Ajim yang mengingatkan aku.
“ ..Sweater tu jangan lupa pula..” ada nada prihatin.
Aku yang bagaikan kerbau dicucuk hidung hanya menurut. Spontan aku tersenyum memikirkan sesuatu. Bukannya aku lupa, cuma terlewat sikit saja untuk mengambilnya. Dan kerana kelewatan itulah adikku ini mengingatkan lalu terpamer sikap prihatinnya. Seketika aku merasakan aku dan dia sudah bertukar tempat, sepertinya dia pula yang menjadi abang kepadaku. Terasa kelakar. Hendakku gelakkan tapi aku berusaha untuk berlagak selamba. Seboleh yang mungkin. Entahlah. Egonya aku sebagai seorang kakak sehinggakan aku sukar untuk membenarkan orang yang kurang usia daripadaku melebihi aku. Namun dalam masa yang sama, aku selesa andainya sikap berdikari dan pandai menjaga diri itu ada pada mereka.
“ Time to sleep..”
Sejenak aku sudah kembali ke alam nyata. Aku menoleh ke arah Ajim yang sedang menyandar di kerusi di sebelahku. Kebetulan kerusiku agak tinggi sikit kedudukannya daripada kerusi Ajim. Jadi aku tidak terasa janggalnya. Waspada masih dalam kamus perjalananku. Risau andaianya nanti dalam lena, tiba-tiba pula si Ajim ni tersandar ke bahuku atau pun sebagainya. Mungkin juga aku akan bertindak begitu nanti walaupun tanpa sengaja. Aku harus waspada tentang itu. Demi itu, aku cuba menahan lena mata agar aku tidak turut membuai mimpi dalam perjalanan nanti. Baru saja lima minit perjalanan, kantuk sudah menjemput Ajim. Alhamdulillah, aku masih terasa segar pada mata. Biasan mentari tiba-tiba menerjah ke dalam bas melalui tingkap sisi kanan. Kelam kabut adikku ini menarik langsir merah di sisi depan dan di belakangnya. Aku hanya memerhati. Tersenyum lagi. Sayangnya langsir yang di tarik bersatunya tidak sempurna. Masih ada lompang-lompang yang membenarkan sang mentari untuk mengintai kasar. Mungkin terganggu dengan keadaan itu, pantas saja Ajim bangun lalu melintasi depanku dan beralih ke tempat duduk lain. Kerusi yang setentang dengan kerusi belakangku dijadikan tempat baru tidurnya. Kebetulan pada hari ini masih banyak ‘seat’ yang kosong. ‘ Nak main sorok-sorok pun boleh ni. Hehehe.. ’ aku bermonolog dalam hati. Tidak lama selepas itu, aku pula beralih ke ‘seat’ asal Ajim tadi. Lebih selesa andainya aku duduk di tepi tingkap. Lebih selesa lagi bila aku mendapat ‘privacy’ untuk tidur tanpa ada siapa-siapa di tepiku. Terima kasih ya Ajim. J
Aku terjaga dalam perjalanan bila bas tersebut berhenti di sebuah kawasan pekan kecil. Aku menjeling pada jam telefon bimbitku. ‘12.05 ’. Maksudnya 12.05 tengahari. Aku memerhati ke sekeliling, mencari papan tanda atau apa saja yang boleh menunjukkan aku berada di mana sekarang. Melihat pada papan tanda stesen bas kecil itu, senyumku mekar dalam hati. Sudah agak lama aku tidak melewati bandar kecil ini. Kali terakhir pun lima tahun lepas sewaktu aku mengikuti kursus jahitan selepas baru habis menjawab kertas SPM. Bagiku bandar Mentakab ini tidak jauh perubahannya dalam tempoh lima tahun ini. Masih banyak yang sama. Sehinggakan kenangan lepas masih menari-nari di ruangan mata. Kenangan yang banyak memberi pengajaran hidup sebagai anak rantau. Sayangnya aku tidak berniat untuk mengenang kenangan itu. Lantas aku cantasnya secepat yang mungkin. Bukan kerana pahitnya kenangan, tapi kerana manisnya pengalaman sehinggakan aku tidak mahu hanyut dalam memori yang mengamit rindu itu. Di bandar inilah aku merasa pertama kalinya bekerja, selama tiga hari dan mendapat gaji pertama, RM 10. Di sini juga aku mula belajar untuk berkawan dengan dunia luar yang ragam orangnya berbagai-bagai, sosialnya menggerunkan tapi aku harus hadapinya juga walau dalam keadaan apa sekali pun. Kerana itulah enam bulan di sini tersa seperti enam tahun lamanya. Tidak betah dengan persekitaran yang kacau bilau menjadikan aku sentiasa dalam keadaan tertekan. Dunia pertamaku selepas keluar dari rumah dan jauh dari keluarga adalah geng motor. Berbezanya pandangan dan cara hidup mencetuskan pertengkaran pada permulaan sosialku di sini. Siapa tahu, mengalahnya aku pada masa itu dengan lafaz maaf, walaupun bukan salahku telah membuahkan persahabatan. Lafaz maaf darinya pada kesilapan yang bukan salahnya, sebagai tanda merendahkan ego lelakinya juga telah mentautkan lagi persahabatan antara dua insan yang berlainan cara hidup itu. Hakikatnya, aku tidak berani hendak mencari masalah dengan geng motor. Atas alasan rasional itulah aku mengalah, juga atas nasihat seniorku yang sememangnya kawan kepada geng tersebut. Terasa kelakar tapi itulah yang terjadi. Persahabatan itu cukuplah hanya sekadar sapaan ‘Hai’. Alhamdulillah, kerana masih ada rasa ‘respect’ pada cara hidup masing-masing, aku masih boleh terus hidup dalam persekitaran yang boleh kukatakan kawasan ‘panas’ itu. Panas kerana di situ aku pernah menyaksikan geng motor merempit beramai-ramai. Aku pernah menyaksikan bagaimana mereka bertukar perempuan dan bercumbuan, menogok air kencing syaitan, dan bergaduh di depan mata. Pesanan dari abang-abang senior agar berdiam diri tanpa ambil kisah juga menjadikan aku dan rakan yang lain membuat hal sendiri. Persoalan hati, hanya Allah saja yang tahu. Pengalaman itu sungguh pahit dan berisiko mempertaruhkan harga dan jati diri. Sebagai insan yang berakal, aku benar-benar mengambil pengajarannya. Mungkin kerana itu juga, aku tidak cerewet untuk berkawan dengan sesiapa pun, selagi masih saling menghormati cara masing-masing. Jadi bukan sesuatu yang baru andainya ada yang mempersoalkan caraku yang mudah untuk ‘masuk kepala’ dan mesra dalam golongan tertentu. Bagiku, di mana bumi dipijak, di situ langit di junjung; namun harus menjaga jati diri. Paling penting, untuk memahami atau menguasai seseorang itu, kita harus mengenali dunianya agar kita tidak lemas dan mudah terpengaruh dengan dunia yang baru itu nanti. Penjajahan fikiran itu ada di mana-mana saja.

Di stesen kecil ini hanya seorang penumpang saja yang bertambah. Aku menoleh ke belakang dan memerhatikan penumpang berbangsa cina itu mengambil tempat duduk Ajim. Sekilas aku menjengah ke luar bas, mencari kelibat Ajim yang menghilang sebentar tadi. Dalam diam aku merencanakan bahawa Ajim harus mencari tempat duduk lain selepas ini. Tidak lama  selepas itu kelibat Ajim sudah berada di  dalam bas. Masih dengan lagak selamba dia mengambil tempat duduk kosong di belakangku. Perjalanan bas diteruskan ke stesen terakhir, Jerantut. Bas itu melewati bandar Temerloh sebelum memasuki pekan kecil Kuala Krau. Aku mencongak sendiri, kira-kira 30 minit lagi aku akan sampai ke bandar Jerantut. Memandangkan tempat dudukku di sebelah kanan, jadinya tumpuanku lebih terarah ke sebelah kanan saja. Aku berkhayal lagi sebenarnya sehinggakan aku hampir terlepas pandang pada sekolah rendahku sewaktu darjah satu dulu. Cepat saja aku sampaikan kepada Ajim yang memandang ke arah yang sama. Sekali lagi kenangan zaman kecilku terlayar di ingatan. Tapi tidak bertahan lama kerana aku masih mencari kata hati tentang tujuanku selepas ini. Samada mahu ke rumah Kak Ida, ke rumah kawan sekelasku dulu atau pulang saja ke kampung ke rumah Mak Su. Apa yang pasti bila sudah pulang ke kampung  memang sukar untuk aku ke bandar kerana faktor pengangkutan. Kampungku yang jauh di pedalaman itu menjadikan segala urusan luar terganggu. Hendak ke rumah Kak Ida, masih tiada apa-apa balasan mesej darinya. Bimbang nanti jika aku datang tanpa sebarang keputusan, Kak Ida pula tiada di rumah. Ah! Serba salah aku jadinya.
Semakin mendekati pusat bandar semakin terasa kosong otakku. Sedangkan si Ajim di belakangku sudah galak gayanya. Betapa kegembiraan itu menjadi miliknya pada saat ini. Aku yang hanya menumpang rasa menoleh ke belakang mengangkat kening dan tersenyum. Selang lima minit berlalu aku sudah pun menjejakkan kaki di tanah  kelahiranku. Masih terasa rindunya pada bandar kecil ini walaupun kali terakhir kedatanganku baru saja tahun lepas. Aku melilau ke sekitar hentian bas. Aku mencari bayangan Ajim sebenarnya. Cepat sungguh dia menghilang. Aku menoleh ke kiri, memerhati dan ke kanan sekali lagi. Aku terkejut. Serta merta lelaki ini sudah berdiri di depanku dengan beg pakaianku di tangannya. Rupa-rupanya dia dulu yang mencapai beg pakaian lalu di bawanya ke kerusi yang disediakan di situ. ‘Baik sungguh adikku ini’ pujiku dalam hati. Selepas itu dia beralih pula ke kaunter tiket bertentangan dan meletakkan beg galasnya di situ. Aku yang tiada haluan lagi mengikut jejaknya ke situ tanpa dia sedar. Kelihatannya dia sedang sibuk menyusun kedudukan begnya. Mendongak saja dia terpandang ke arahku.
“ Bas lambat lagi kak..” bersahaja. Ada segan pada tingkahnya. Aku menoleh ke kiriku lalu terpandang dua orang remaja perempuan yang duduk di situ. Pandangan kami bertembung sebenarnya. Entah kenapa aku merasakan pandangannya pelik. Tapi aku masih cuba untuk senyum dan dia membalasnya dengan sebaik senyuman. Ah! Mungkin perasaanku saja itu. Aku memujuk hati agar berbaik sangka. Tiba-tiba pula Ajim membawa beg galasnya ke kerusi tempat aku berdiri dan meletakkannya di situ.
“ Kak, tolong jaga beg sekejap. Ajim nak pergi tandas.” Lalu dia menghilang di celah barisan gerai buah di sepanjang stesen bas kecil itu. Aku termenung lagi. Berfikir dan terus berfikir, merangkai kemungkinan yang aku sendiri tidak nampak kebenarannya. Persoalan untuk ke rumah Kak Ida sememangnya membuatkan aku sakit kepala.  10 minit kemudian Ajim datang semula.  
“ Akak balik pukul berapa nanti? Kalau akak ambil teksi pun ke Taman Koperasi tu, ok dah kan?” dia bersoal tentang hala tujuku ke rumah Kak Ida. Itulah maklumat pertama yang aku berikan kepadanya. Aku yang malas hendak layan soalannya itu sekadar mengangguk sekali sambil tersenyum. Entahlah, aku pun masih lagi tidak nampak ke mana jalanku selepas ini.
“ Bas Ajim pukul berapa?” berniat untuk menukar tajuk perbualan, aku pula bersoal.
“ Pukul 2. Sekejap lagi…”
Aku memandangnya sepintas lalu; ingin bertanya sesuatu sebenarnya. Cuma teragak-agak saja tapi perlu kuteruskan juga.
“ Mak tau tak yang Ajim balik dengan akak ni?” maksudku dengan rakan sekelas perempuan.
“ Tak. Ajim tak bagitahu pun…” masih dengan riak tenang.
“ Takpe ke nanti? Manalah tau nanti ada pula yang bercerita kata jumpa Ajim dengan perempuan kat bandar..” aku tersengeh tapi masih serius dengan soalanku itu.
“ Ah! Ada yang bercerita macam tu, nampak ni..” dia menunjukkan penumbuknya. Aku pula yang terasa kelakar terus tergelak. Dalam manjanya garang juga si Ajim ini.
“ Nanti sampai sana pukul berapa?” aku memaksudkan ke rumahnya.
“ Dalam pukul 3 sampai la..” dengan loghat Pahang yang masih pekat dia menjawab pendek. Agak jauh juga perjalanannya. Perjalanan ke kampungku pun sekadar 30minit hingga ke 40 minit. Sejenak dia menghilang ke bahagian belakang hentian bas, menuju ke tempat hentian bas biasa sebelum datang semula ke situ. Dia mencapai beg galas dan beg pakaiannya.
“ Kak, Ajim balik dulu tau. Nanti akak balik pukul berapa?” dalam mengejar masa sempat lagi dia bertanya. Dan persoalan itulah yang aku berat untuk menjawabnya.
“ Erm..tengoklah dulu, dalam pukul 4 ke..lagi pun akak tengah tunggu kawan lagi ni. Dia habis kerja pun petang” kawan yang aku maksudkan adalah Kak Aiffa, rakan sekelas waktu tingkatan 6 dulu. Perancangan kedua itu pun dia juga sudah sedia maklum sebentar tadi.
“ Nanti akak balik Nilai bila? ” dia bersoal lagi.
“ Akak balik ke Nilai dari Muadzam, bukan dari sini. Mungkin dalam 2hb sebab adik akak dapt PLKN kat Kuala Pilah.” aku berterus terang tanpa berniat mencantas harapannya. Jelas terpamer riak kecewa pada wajahnya. Aku tahu dia masih berharap aku dapat menemaninya sewaktu balik semula ke Nilai nanti. Tapi aku tidak dapat memenuhinya kerana aku akan balik ke Muadzam pada minggu ke dua cuti semester nanti. Jadi kesimpulannya dia harus sendirian juga. Aku hanya mampu mempamerkan wajah simpati saja tapi ikhlas dari hati kecilku. Aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi. Agak lama dia termenung dan bila menyedari masa sudah terlewat dia meminta diri. Redha.
“ Ajim balik dulu la kak. Nanti dah sampai rumah mesej Ajim tau.” Pesannya kemas dan prihatin. Semakin lama aku semakin nampak sikap mengambil beratnya. Alhamdulillah, sebagai seorang kakak aku amat menghargainya. Aku menghantarnya dengan pandangan mata sehinggalah kelibatnya hilang dari penglihatan.
Aku menyusuri barisan kedai baju di sekitar hentian bas sambil mencari-cari kedai makan yang berkenan. Memandangkan matahari sudah condong sedikit ke barat, perutku juga sudah mula menjerit minta diisi. Selesai saja menjamah nasi goreng kampung dan segelas milo ais, aku menuju ke hentian teksi yang bertentangan dengan hentian bas. Aku terlalu nekad untuk ke rumah Kak Ida sendirian. Menunggu Kak Aiffa, katanya masih tiada kenderaan lagi jadi aku tidak nampak kemungkinan dia akan dapat datang nanti. Bersama seorang pak cik tua, aku menuruti kata hatiku menuju ke Taman Koperasi. Berbekalkan ingatan yang semakin kabur, aku ingat-ingat lupa berapa alamatnya. Aku cuma ingat dengan jelas bagaimana rumahnya dan keretanya saja. Ternyata bekalanku masih tidak mencukupi sehinggakan aku terkandas dan terpaksa menyerah kalah pada keadaan. Aku kembali ke hentian bas dengan perasaan hampa. Secara kebetulan mesej dari Shahrol, juga yang kuanggap seperti adik sendiri masuk ke dalam peti mesejku. Kerana terasa rajuk di hati, terus saja aku adukan kepadanya rasa terkilan. Cukuplah sekadar meluahkan rasa kecewa pada harapan yang tidak kesampaian. Redha dengan takdir dan keizinan Allah, aku menukar arah untuk pulang saja ke rumah Mak Su di kampung. Kufikir gelora hati kecilku ini sudah selesai kembaranya namun tanggapanku salah malah fikiranku semakin kusut bila aku berada di sini. Kenangan pada insan tidak halal bagiku itu masih menghantui hidup aku. Sedaya upaya aku mengusirnya. Pergilah kenangan, pergilah memori..biarkan aku sendiri merawat hati untuk kembali kepada yang hakiki. Mungkin DIA sedang melamar hatiku sekali lagi dengan bermaharkan cinta yang abadi. Sedangkan aku hanyalah bermaharkan hati yang tercemar dan kotor. Selagi nyawaku berpadu dengan nafas, selagi roh satu dengan jasad, kembara sekeping hati ini tiada pengakhirannya. Kembara hati itu sentiasa terjadi tanpa mengira tempat, waktu dan pada siapa jua. Ya Allah, sucikanlah hatiku ini dengan cintaMu! Dengan serendah hati kumohon petunjuk dariMu..


20/12/2010-9.19pm


Duhai hati yang sedih bicaranya…
Hamparkanlah segala rasa itu hanya pada Yang Satu…cukuplah DIA pendengarku…
Duhai jiwa yang lara rintihnya…
Suakanlah deritanya itu hanya pada Yang Mengubati segala rasa…memadailah DIA penyembuhku…

Ya Allah..Tuhanku Yang Satu..
Aku benar-benar dalam derita jiwa…
Hatiku ini telah lama dipagut rasa duka…
Kiranya perasaan itu bisa ku hilangkan dari diriku..

Ya Khaliq…
Jiwa ini telah kotor dan jauh dari kasihMu…
Aku terlalu lena menjalin benang cinta manusia…
Sungguh pun sulamannya terlalu halus..namun aku masih bermain simpul…
Sedangkan benang cintaMu yang jelas lagi terang…tidak pernah aku cuba kejapkan simpulnya..

Ya Rabb…
Izinkan aku tenang bersama hidayahMu…
Aku benar-benar telah hilang haluan…
Aku  yang dulu lurus jalannya…
Kini telah menyimpang jauh ke tepi..sedangkan dia tetap di laluanMu..
Maka bagaimana harus aku kembali ke laluanMu itu??

Wahai Kekasih Yang Satu…
Sekali lagi aku kembali melamar cintaMu..
Kiranya sekeping hati yang kotor ini kupersembahkan sebagai maharnya..
Masih berhargakah cintaku padaMu?
Dan..
Sudikah Kau menerima lamaranku?










RAMADHAN CINTAKU(2)-KEBAHAGIAAN DALAM PERPISAHAN??



Kata Kak Ida.. “ ..lelaki itu luarannya keras, tapi di dalam hatinya ada taman..”

Benarkah??
Tapi kataku pula..“ lelaki itu di luarannya besi tapi dalam hatinya ada kaca. Bila mana ia mula retak, aku sudah mula berasa cemasnya. Andainya kaca itu sudah pecah berderai, aku juga yang pedih terkena serpihannya. Ngilunya menusuk kalbu, membunuh segala seni rasa.”

Suara itu hanya bergema dalam lohong kalbu. Tak terluah suara hati itu dari bibir merah pudarku. Apatah lagi taipannya, tidak langsung menari dihujung jariku. Papan kekunci laptop di depan kupandang sepi. Ruangan ‘chat’ di bawah rangkaian ‘facebook’ itu aku biarkan kosong tanpa patah perkataan. Aku hanya menggumam sendiri. Baru sebentar tadi aku selesai meluahkan rasa hati yang semakin membuak-buak dek kerana sakitnya hati kepada orang yang selama ini aku sayang. Itu pun secara kebetulan aku ‘on line facebook’ malam ini dan kelihatan Kak Ida juga sedang ‘on line’.

-Assalamualaikum kak..-
Aku sekadar cuba memancing bicara.

-Wa’alaikum salam-
Seketika aku terkesima. Agak lama juga aku merenung sebaris ayat itu. Mungkin ini permulaan yang baik bagiku. Mungkin? Ya, mungkin dan aku yakin, walaupun kemungkinan tidak pernah menjanjikan kebenaran.

-Busy ke?-
-Maaf menganggu-
Kali ini aku memancing kelapangan dan situasi Kak Ida pula.

-tak ganggu juga. Busy layan facebook..-
-hehe..-

Aku tersenyum dengan ayat terakhir itu. Kakakku ini walaupun pendiam tetapi agak kelakar juga orangnya. Jarang sekali aku dapat peluang untuk berbual-bual dengan kakak kesayanganku yang seorang ini. Lebih-lebih lagi pabila wanita ini sudah mendirikan rumah tangga. Tanggungjawab kepada keluarga menjadikan masa untukku tidak terluang agak lama. Bermula dengan gelaran seorang warden di sekolahku dulu, kini dia telah bergelar kakak kepadaku. Sebetulnya, kakak angkatku.
Aku dapat merasakan berat kepalaku semakin ringan bila mesej ‘chatting’ku berbalas. Lantas tanpa di pinta aku memulakan langkah ke depan walaupun terkesan agak pincang.

-kak, nak tanya sikit boleh?-
-banyak pun takpe Ros-

Ros. Nama yang sinonim denganku dan Kak Ida memang gemar memanggilku begitu sejak dari dulu lagi. Sebelum aku mencari kehidupan yang baru. Sehingga kini nama itu kekal buatku, malahan aku juga tidak menjadikan ianya sebagai satu masalah. Bagiku, nama tidak mengubah keperibadiaanku. Cukuplah hanya sekadar nama..

-Akak-
-sejauh mana akak kenal Amir?-

-maksud Ros?-

-maksud Ros, dia bagaimana orangnya?-
-perangainya..-
-hati budinya..-
Kerana terlalu ingin tahu semuanya, aku galak bersoal. Ku suakan semuanya tanpa berselindung.

-entahlah Ros. Akak pun tak tahu sangat-
-hehe..-
-maaf Ros. Akak pun hampir lupa yang Ros kenal dia melalui akak-
-kenapa Ros?-

Aku kaku seketika. Berdebat antara akal dan hati, samada mahu meneruskan niat sebenar atau lupakan saja. Atau mungkin ini saja peluang yang ada? Antara malu dan segan aku terpaksa teruskan juga. Malu kerana aku tidak menjangka aku akan pergi sejauh ini. Aku segan. Segan kerana  Kak Ida pasti tergelak dengan ceritaku nanti. Risau pula nanti Kak Ida beranggapan aku saja yang syok sendiri. Benar, rasa malu dalam diri ini masih bersisa lagi.

-akak tau tak..-
Aku memulakannya sekali lagi. Seketika tiada respon. Tapi kedegilanku telah mendesak aku untuk untuk mengulangi ayat yang sama sehinggalah aku mendapat respon dari Kak Ida.

-akak tau tak?-
-akak tau tak..?-

-tau apa Ros?-

-semalam..- 

-iye?-
Ada rasa prihatin pada nadanya.

-semalam Ros terus putus ‘contact’ dengan dia-
Ah! Pipiku terasa hangat lagi dek kerana curahan air jernih dari sepasang mata coklatku. Cepat saja kukesat linangannya kerana merasakan pandanganku sudah semakin kabur.

-kenapa sampai jadi macam tu Ros?-
-apa yang dah jadi sebenarnya?-

-entah.-
Hanya itu yang mampuku luahkan setakat ini.Aku seolah-olah tidak mampu merungkainya lagi. Setiap kali aku merungkainya, setiap itu juga air mataku menjadi terlalu murah.
Suasana senyap seketika. Tiada respon dari Kak Ida mahupun dariku. Aku tidak  tahu bagaimana hendak memulakannya. Semuanya agak menyerabutkan. Akhirnya, aku memulakannya dengan bersahaja. Cuba mengikut rentak dan rasa hati yang sudah mula hilang arah tujunya.

-akak nak tau tak..-

- dari tadi akak tunggu Ros-

-selama tiga tahun kenal..-
-bulan satu awal tahun hari tu kami jadi ‘teman istimewa’- Aku mengulangi ayatnya.





TEMAN ISTIMEWA- apa maksudnya ye??Aku masih lagi bersoal walaupun aku sendiri seperti faham akan maksudnya. Tapi..betul ke aku benar-benar faham maksudnya? Ya! Aku faham. Semua insan yang berakal di dunia ini faham maksudnya. Tapi mungkin cara pemahaman dan penilaian yang membezakan kita dengan yang lain. Bukankah setiap orang punyai cara pemahaman dan penilaian yang tersendiri? Malahan teori Freud Sigmud dan Erik Erikson menyatakan bahawa manusia mempunyai enam peringkat pemikiran. Dan aku mempercayainya. Jika tidak, masakan kita akan mengeluarkan pendapat yang berbeza-beza. Malahan siap berdebat-debat lagi. Bukankah itu bukti kukuh setiap manusia ciptaan ALLAH ini unik. Unik dengan keistimewaan tersendiri sehingga kadang-kadang sukar difahami dan menyesatkan yang lain. Astaghfirullah al-azim..sampai ke situ fikiran amarahku. Aku meraup wajah sekali dua. Beralih saja tangan dari muka, terus mataku terarah pada skrin laptop. Mesej Kak Ida sudah lama tertera di ruang ‘chat’.


-iye?-
-ewah-ewah!-
Kak Ida pula menggiat, namun aku dapat mengesan ada nada terkejut seperti tidak menyangka. Aku sendiri pun tidak menyangka akan pergi sejauh ini, ini kan pula Kak Ida.

-tapi bulan dua hari tu dah putus-
Tanpa berniat mencantas cerianya aku menyambung lagi. 14 Februari 2010. Aku sangat ingat tarikh itu!

-kenapa?-

-entah. Katanya dah jumpa yang lain-
Aku berterus terang tanpa berselindung. Sedangkan dalam hati Allah saja yang tahu pedihnya mengungkapkan kata-kata itu. Mengharap pada yang tak pasti, akhirnya aku yang lara sendiri.

-herm..entahlah Ros-
-akak pun tak kenal sangat dengan dia-
-sekadar kawan masa study dulu saja-
-maafkan akak Ros-

-maaf? Kenapa kak?-
-tak. Akak tak salah apa-apa pun-
Aku menafikannya tanpa menunggu jawapan dari Kak Ida.

-Ros tak kisah sangat kak. Tapi janganlah  senang-senang nak mainkan perasaan orang-
-Ros pun ada  harga diri juga. Bukannya semudah tu nak minta dan tarik balik semua tu.-
Aku sudah mula emosional. Tanpa sedar aku sudah melepaskan geram pada orang lain  pula. Dan sememangnya Kak  Ida menyedari perubahan yang tak kurancang itu.

-Ros jangan marah dia. Dia memang macam tu..-

-tak. Ros tak pernah marah dia. Dia yang selalu marah dengan Ros..-

-Ros, sabar. Ros tengah marah ni..-
Sesekali Kak Ida cuba memujukku namun semuanya seperti sudah terlambat. 

-bila dah lama pendam, memang macam ni kak.- Aku masih mengharapkan pengertian.
-bila Ros tanya je dia tak nak jawab. Siapa yang tak sakit hati kak?-
Ah! Aku sudah gagal mengawal perasaan sendiri. Betapa aku terlalu memendamnya selama ini.

-Ros nak akak tanya dia?- tiba-tiba Kak Ida memberiku soalan cepu gangsa yang aku rasakan tiada kepentingannya lagi. Dengan pantas aku menyangkal.

-tak perlu kak. Semua tu dah tak penting lagi- Muktamad!
-Cuma satu kak..-
-ubahlah diri untuk orang lain yang akan datang..-
-bukan untuk Ros lagi.-
-mendiamkan diri tak akan selesaikan apa-apa pun kak..-
Madu yang kurasa manis dulu sudah mula terasa tawarnya.

-takpelah ros kalau dah macam tu..-

Aku dapat merasakan bahawa Kak Ida sudah kehilangan kata-kata. Dan semakin lama mesej ‘chat’ku tiada balasan lagi. Namun aku tidak berasa hati kerana aku sendiri pun memerlukan ruang untuk bernafas pada saat ini. Dalam perasaan sebal aku membuka semula peti ‘chat’. Membaca kembali apa yang telah kuluahkan. Entahlah. Aku pun tidak tahu kenapa aku ingin membacanya semula. Mungkin sekadar ingin meredakan rasa hati agaknya kerana telah terluah juga apa yang aku pendamkan selama ini. Aku meneliti satu persatu barisan ayat tersebut. Mencari sesuatu yang aku sendiri tak tahu apa yang kurangnya. Namun tiba-tiba aku menangkap satu soalan yang tidak berjawab. Mungkin aku terlepas pandang ketika aku sedang melayan emosi hati sebentar tadi. Kiranya soalan itu benar-benar memberi jawapan kepada persoalanku selama ini…

-dia dengan Dila dah takde apa-apa ke?-
Aku tersentak, teringat pada mesej Kak Ida suatu masa dulu pabila kuceritakan yang dia selalu sakit.
“dia sakit rindu pada Di*** la tue”. Mengungkap nama seorang gadis yg berasal dari Melaka. Cukuplah hanya itu yang kutahu. Selebihnya aku diamkan tanpa soal. Pada masa itu, saat menerima lamaran untuk menjadi ‘teman istimewa’nya aku lupa bahawa dia sudah ada seseorang.
Aku kembali kepada alam nyata. Kurenung dalam-dalam sebaris ayat tersebut. Perlahan-lahan mataku terpejam. Rapat. Sedangkan dalam hati masih celik dengan situasi yang tak terduga ini. Berfikir sejenak, mentafsir dalam-dalam maksud sebaris ayat itu. Perlahan-lahan juga aku mengikis sisa-sisa perasaan yang melekat di sudut hati kecilku ini sehinggakan aku terasa kosong. Kosong seolah-olah aku hidup tanpa perasaan lagi.  Kini aku benar-benar kehilangannya. Aku merasakan aku sudah menemui jawapan kepada 1001 persoalan yang ku genggam selama ini. Sesungguhnya ALLAH tuhanku, benar-benar menyayangiku!
ALHAMDULILLAH…


Ya Allah... kenapa semua ini terjadi padaku?

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 216)



Ya Allah.. kenapa terlalu berat ujian ini?

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)



Ya Allah.... terasa kehidupan ini sudah tiada maknanya lagi bagiku.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139)

"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)



Ya Allah... bagaimana harus kuhadapi semua ini?

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Al-Baqarah : 45)



Ya Allah... apa yang akan kudapat daripada semua ini?

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..(At-Taubah : 111)


    Ya Allah.... kepada siapa harus ku berharap?

"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah : 129)



Ya Allah...berimankah aku?

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta? “(Al-Ankabut : 2-3) –terima kasih iluvislam.com-



20/09/2010-10 SYAWAL 1431H-7.18PM