WELCOME TO MY BLOG....ASSALAMUALAIKUM WTH...:)

AIMAN ROSNARA... kehidupan ini satu perjuangan.. kehidupan ini satu pencarian.. berjuanglah untuk terus hidup.. teruskanlah mencari jati diri.. siapa kita di muka bumi ini.. siapa kita pada ilahi.. siapa kita pada agama islam yang suci.. siapa kita pada family.. siapa kita pada diri sendiri.. carilah..

Tuesday, 5 April 2011

SALAHKAH DIA(3)-BILA NALURI HATI DIINGKARI..


Hampir beberapa hari juga persoalan itu tergantung tanpa jawapan yang jelas. Sengaja dia menggantungkannya begitu. Bukan satu persoalan yang mudah untuk dia dalam memberi jawapan pada soalan insan yang sangat dia hormati sebagai seorang guru itu. Kebetulan pula dia sedang dalam kelemahan iman, jadi tidak mampu dia untuk menunaikan solat istikarah, juga solat wajib lima waktu sehari semalam. Rutin dan kebiasaan  bulanan bagi seorang wanita. Atau di kalangan teman, istilah ini lebih biasa; ABC-ALLAH bagi cuti.



Sementara menunggu kewajipan itu ‘sah’, dia hanya bersoal biasa-biasa saja. Tertanya –tanya juga dia, siapakah hamba ALLAH yang sama kampung dengannya itu. Kenalkah dia dengan muslimin tersebut.? Sejauh mana? Sama sekolahkah dulu? Kenalkah juga muslimin itu dengan dia? Oh, terlalu banyak soalannya, tapi satu pun tidak terjawab lagi. Siapakah dia? Satu saja yang pasti, jikalau bukan senior kepadanya, mungkin rakan sekolah menengahnya dulu. Dia buntu seketika. Dia bukan seperti insan yang lain, masih banyak kekurangannya. Kepentingan diri dan kedua orang tua masih belum terjaga sempurna, jadi bagaimana dia mahu menjaga kepentingan insan lain? Dan itulah yang disua jawapannya. Nampak benar dia masih tidak yakin walaupun dia sememangnya inginkan seorang teman hidup yang mampu membimbingnya hingga ke akhir hayat. Seolah-olah dia cuba menafikan termakbulnya lafaz doa dalam setiap solatnya selama ini.


 “Ya ALLAH, kurniakanlah kepadaku seorang teman hidup yang dapat membimbingku ke jalan syurgaMu..Amin..”
  
Kini, hampir termakbul doanya; hati pula berbelah-bahagi. Kenapa hatinya begitu ?

‘Tidak bersyukurkah aku? Atau ini sekadar ujian buatku? Mungkin kerana hati sudah mengharap pada yang lain maka lakuku begini?? Tapi...benarkah hatiku ini??’

Dan bila disuakan persoalan tanggungjawab yang masih tidak terungkai kepada guru tersayang ini, dia dibalas begini..

February 27 at 6:16pm
Allah adalah tempat mengadu paling hak, dan dalam melalui dunia yang walaupun sekejap, penuh dengan pancaroba, kita perlu teman penyokong..seseorang yang benar-benar boleh kita bersandar, faham dan sabar. Kalau awak nak kenal-kenal dulu pun boleh..saya tanya dia ya?

Tidak! Tidak sekali-kali. Dia terlalu malu kalau begitu. Tambahan pula dia sudah tidak begitu selesa berurusan dengan seorang adam yang bukan muhrim secara personal. Bila berurusan begitu, mudah saja terpesong laluannya. Dia takut begitu. Kerana itulah dia lebih selesa memilih jalan bercinta selepas pernikahan. InsyaALLAH..(tapi bila mana perkataan ‘nikah-kahwin’ hadir dalam diri, dia seperti cuba menghindari). Selalu. Ingkarkah dia?

Dan orang tuanya,“ ..walaupun dia tidak menjadi wali kepada saya, kerana menghargai jasanya yang menjaga saya selama 2* tahun ini, maka harusnya saya meminta suaranya juga cikgu..saya terlalu mahukan seseorang yang mampu memberi ‘jalan’ kepada orang tua saya, seperti saya. Siapakah yang akan faham, cikgu?.” dia menekan lagi. Dan, siapakah yang dapat memenangi keyakinan kedua orang tuanya nanti dalam keadaan dia sedang belajar begini yang masih berbaki 2 tahun lagi. Untuk pertama kalinya dia meluahkan rasa hati yang terpendam kepada insan terpelihara itu.

March 3 at 12:14pm
Takpalah.Kalau awak tak nak fikirkan. Takut beban pula di kepala.. Kalau perlu sokongan dari segi relationship, elok kawin @ prepare untuk kawin. Tanggungjawab memang berat, tapi hati lebih tenang, insyaAllah.. Allah kata “Aku jadikan kamu berpasang-pasangan supaya kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram”.. Tapi  kalau perlu sokongan moral, saya ada!

Ah! Gurunya itu benar-benar memahami.  Dan tidak silap sebenarnya apa yang dikatakan gurunya itu. ‘Aku jadikan kamu berpasang-pasangan supaya kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram’. Alhamdulillah, kerana mendapat ilmu  baru..

Seharusnya juga dia berfikiran rasional dengan keadaanya sekarang sebagai seorang yang sedang menuntut ilmu. Tapi dia tidak pernah akan menolak takdir jika itu kehendak ALLAH. Setiap aturan dan kejadian ada pasti hikmah disebaliknya nanti. Hanya ALLAH yang mengetahui apa yang perlu untuk hamba-hambaNya.

March 3 at 8:27pm
Siapalah saya cikgu nak mencari yang sempurna sedangkan saya masih tidak sempurna. Memadai bila ada yang dapat menerima saya seadanya dan mahu membimbing saya pada masa akan datang.

Lagi pun kuasa terima nikah bukan ditangan saya cikgu..saya serahkan semuanya pada ALLAH..soal jodoh memang saya tak kan mencari sebab saya tak pandai nak mencari yang terbaik..melainkan yang datang..bila ia datang sendiri kepada saya dengan jalan yang betul, berbatas dan syariat juga dengan izin ALLAH, bermakna dia memang jodoh saya dan saya diterima seadanya..
dan soal menjaga agama memang saya utamakan sebab saya perlukan itu untuk dunia dan akhirat saya..

Jujurkah dia bila berbicara begitu? Jujurkah dia?!
Fullstop! Cukup! Cukuplah bicaranya sampai di situ, kerana semakin banyak dia berbicara antara naluri, hati dan akal, semakin dia keliru. InsyaALLAH, setelah mampu akan dia usahakan istikharah dalam meminta petunjuk ALLAH. InsyaALLAH..

Selang beberapa hari dia melewati semula laman ‘facebook’nya. Tiada apa perubahan yang drastik, sekadar biasa-biasa saja. Di ruang ‘Friend Request’ menunjukkan seorang rakan sedang menunggu untuk di ‘approve’; mungkin. Secepat yang mungkin dia membukanya pada laman yang berasingan lalu dia ‘click’ ruang yang telah tersedia sebagai rakan. Serentak itu juga, seperti biasa dia membuka laman teman barunya itu. Sekadar permulaan untuk dia menggenali lebih dekat rakan barunya itu. Rakan barunya itu seorang muslimin. Selebihnya dia melewati ruang ‘wall’ rakan barunya itu. Sekadar melihat cara pemikiran kenalan barunya itu bagaimana, agar mudah baginya menyesuaikan diri. Tiba-tiba dia terlihat perkataan ‘Add as Friend’ lalu menyedari sesuatu. Agak pelik sebenarnya. Bukankah tadi dia sudah ‘click’kan ‘Approve’?

Dia kembali semula ke ruang ‘Friend Request’, meneliti semula nota yang telah tercatat di situ. Membaca  perkataan ‘..by suggestion..’ saja, dia sudah terbaca nama seseorang di situ. Mana mungkin dia tidak kenal dengan nama gurunya itu. Dia tersenyum. Namun cepat pula matinya senyuman itu. Terfikir sesuatu sebenarnya. Dengan teliti dia membaca kembali nama rakan baru yan dicadangkan oleh guru kesayangannya itu. M.****! Dia kenal dengan baik muslimin ini. Dulunya mereka satu sekolah dan juga seniornya. Spontan sudah terasa panas di muka. Tiba-tiba terasa debar di hati walaupun ‘pertemuan’ itu bukanlah di depan matanya. Dia sudah dapat meneka sesuatu tujuan cikgunya itu mencadangkan muslimin ini kepadanya. Perlahan-lahan dia membuka koleksi gambar muslimin tersebut yang kebetulan tidak di ‘privacy’kan. Menunggu jaringa internet yang lembap menjadikan masa begitu lama. Dan semakin lama  masa menunggu, semakin laju pula debaran hatinya. Bukan kerana gembira atau teruja, tapi risau itu lebih menguasai. Tidak dapat dia menjangka apa yang terjadi selepas peristiwa ini pada akan datang. Menambah muslimin ini sebagai rakan ‘facebook’ bermakna dia sudah menapak selangkah ke depan. Sedangkan dia tidak selesa memulakan dulu sebenarnya. Dia benar-benar risaukan kemungkinan akan datang itu. Risau pada kata hati sendiri. Buntu dalam membuat keputusan yang terbaik juga menjadikan dia resah begitu. Beberapa minit selepas itu, gambar muslimin tersebut terpamer di ruang laptopnya. Seniornya itu ternyata jauh perubahannya dari sebelumnya. Alhamdulillah. Berkopiah di kepala dan berjubah putih labuh! Sayangnya, dia masih tidak mampu bersuara lalu beralih laman. Dia melewati seketika laman muslimin yang sentiasa diingatannya itu; sahabat terbaiknya di alam maya! Setia. Kalaulah dia boleh berbicara seperti dulu dengan teman terbaiknya di alam mayanya itu, pasti banyak yang ingin dikongsikan. Terlalu banyak!

Berfikir tentang sesuatu yang belum terjadi dan jelas bukanlah satu perkara yang mudah. Kerana memikirkan  kemungkinan yang tidak nampak itulah yang sering membuatkan dia sakit kepala. Tidak tahu hendak berkongsi dengan siapa menjadikan dia semakin sesat dan buntu dengan keputusan sendiri. Dalam keadaan emosi begini, dia lebih senang berdiamkan diri. Diam namun mindanya masih berfikir, berfikir dan terusan berfikir. Sukar baginya untuk berkongsi tentang persoalan ini kerana mengetahui  tidak semua akan memberi respon yang serius seperti yang dia inginkan. Bila itu yang terjadi nanti, betapa dia berasa itu sudah membuang masa. Akhirnya dia pendam, pendam , dan pendam. Betapa keadaan  yang tidak mengizinkan dia solat ini benar-benar memberi tekanan. Betapa sudah terbukti sesuatu dalam firman ALLAH..


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang.." (Al-Baqarah : 45)

SUBHANALLAH!!

                                 *********************************************** 


TERMINAL 1 SEREMBAN
1.30TENGAHARI
4/03/2011


Dia  memasuki sebuah restoran selepas ‘lari’ sekejap dari suasana kolej yang sesak dengan pelbagai ragam itu. Itu pun selepas dia  selesai memberi komen pada ‘wall’ teman terbaik di alam mayanya itu, berkisahkan tentang sabar, iman dan ALLAH. Agak berat persoalan itu. Secara kebetulan sekitar pukul 11 tadi dia membuka laman sosial ‘facebook’ dan melewati laman teman yang dirindu itu. Melihat saja pada ‘wall’ yang ada perubahan dan penambahan membuatkan dia tersenyum. Dia cuba memberi komen walaupun agak malu kerana dia bukanlah seorang yang berilmu sangat seperti muslimin ini.

Tapi mungkin kerana berminat dan simpati dengan insan terpilih ujian ALLAH itu, maka dia ketepikan semua itu. Seperti mana dia pernah mempertahankan Islam di mata  seorang rakan sekelas yang berbangsa cina dan seorang penganut agama Kristian bulan lepas, itupun isu poligami yang di kaitkan dengan maksiat dan sambutan Valentine. Astaghfirullah al adzim. Kerana disarankan, disokongan rakan-rakan melalui mesej dan ‘chatting’ dan kerana sayangkan Islam, maka dia pada masa itu juga sanggup ‘add’ teman sekelasnya itu demi memberi penjelasan secara terang dan berhikmah tentang salah faham tersebut. Bukan mudah untuk memberi dengan diterima terus tanpa dipersoalkan kembali. Buktinya, temannya itu menyambungnya di ruang chat walaupun waktu pada masa itu sudah mengjangkau pukul 1 pagi. Tidak cukup dengan itu, pelajar lelaki  yang berasal dari negeri bumi kenyalang, Sarawak itu meminta pula untuk berjumpanya secara terbuka di kolej. Walaupun gementar jiwa memikirkan antara mempertahankan agama sendiri dan persahabatan, dia tetap bersetuju! Sememangnya isu itu mencabar keupayaannya sebagai seorang yang masih baru mendapat ilmu, namun mungkin kerana sudah menjadi isu semasa jadi dia sudah biasa dengan jawapannya. Apa yang pasti ia harus berlandaskan dalil yang tepat dan benar. Sikap rakan-rakan yang masih teragak-agak dan berdiam diri dalam  memberi penjelasan yang terang kepada isu ini dalam laman itu juga menjadikan dia geram. Malah semakin menambah salah faham dan Islam itu dipijak-pijak di depan mata sendiri. Kerana itulah dia memberanikan diri ke depan. Dia tetap berpegang pada kata Kapten Hafiz,salah seorang penulis majalah, “lihat apa yang dikatakan, bukan siapa yang berkata”. Dia berani berkata, namun harus berhati-hati dengan kelemahan pada penyampaian kerana lumrahnya wanita selalu dipengaruhi emosi. Namun dengan lelaki penganut setia agama Kristian ini, berlembut, banyak menerima dan memberi semula iaitu melalui konsep bijak bermain psikologi menjadikan penyampaiannya sedikit berkesan. Akhirnya, tiada pula lelaki tersebut menemuinya ketika di kolej; jika bertembung sekalipun. Tetapi bunga-bunga pertembungan agama sudah nampak memutik sebenarnya di kalangan pelajar kelas pada masa itu. Manakan tidak, isu itu disuakan terang-terangan di dalam ‘facebook’ dengan ‘follow up’ daripada rakan kelas seramai 200 orang; ¾ daripadanya adalah pelajar Islam. Bukankah ramai itu?? Jika tidak semua. 10 orang pun sudah cukup untuk memcetus kekecohan. Baginya juga, untuk bercakap tentang isu sensitif ini bukan sebarangan cara. Harus professional dan 'open minded' dari pihak-pihak yang terlibat. Lantaran itu dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sehingga soalan diberi lagi. Itu lebih baik daripada mencetuskan sesuatu yang baru. Memadailah jika dia hanya menjawab soalan yang ditanyakan saja. Bukan memberi penjelasan kepada  soalan yang tidak ditanya sehingga wujud salah faham yang lain pula. Antara sedar dengan tidak, dia dan rakan-rakan yang mengetahui secara senyap juga sebenarnya mengawal isu ini daripada tersebar kepada pelajar yang ‘aktif’ bersuara tin kosong kerana bimbang isu ini dipertuturkan dalam konteks emosi. Sangat bahaya bagi kedua-dua pihak kerana tidak mungkin akan ada yang mengalah dalam mempertahankan hujah masing-masing yang sememangnya betul kerana mengikut cara amalan masing-masing. Jika masing-masing menerangkan amalan masing-masing, tidaklah mencetuskan apa-apa (InsyaALLAH) tapi bila masing-masing mencari kesilapan antara satu sama lain, itu yang bakal menjadi bala. Nauzubillah!

Alhamdulillah, dengan izin ALLAH juga, persahabatan mereka semakin terbuka dan saling memahami prinsip amalan hidup masing-masing. Bukan mudah menjelaskan kebenaran kepada yang sememangnya sudah dari awal lagi menolak. Jalannya sangat panjang, dan dia tidak sekuat itu. Kerana pengalaman itulah, dia mencuba memberi buah fikiran walaupun tidak sehebat muslimin ini. Dia sekadar memberi. 

Dia kembali ke alam nyata. Mengingat kepada e-mel yang dibaca sebentar tadi dia berfikir lagi. Sehinggakan dia pun terasa malu dan hina kerana mengganggap masalah dia-lah yang paling memberatkan hati. Rupanya ada lagi yang lebih berat dari permasalahannya di muka bumi ini.

“Ya RABB, betapa lemahnya aku..”

Sedang dia leka merenung persekitaran dengan pandangan kosong kerana melayan hati, dia di datangi oleh seorang lelaki. Lelaki ini tersenyum dan lantas duduk di kerusi depannya tanpa meminta izin. Dia  terkejut namun masih mampu mengawal riak muka. Sedangkan dalam minda sudah terbit 1001 soalan. Jujur, dia tidak kenal lelaki ini. Lelaki ini masih tersenyum, nampak  ikhlas senyumnya sehinggakan dia cuba berprasangka baik. Selepas itu, lelaki ini menekapkan tangannya di telinga dan di mulutnya lalu menggeleng. Dia tercengang. Cuba memahami bahasa lelaki ini sebenarnya, dan sepertinya dia dapat meneka. Sejurus itu lelaki ini menghulurkan sekeping nota kecil.
Lebih kurang begini bunyinya..

“..kami dari golongan kurang upaya telah menjual hasil kerja kami. Apabila anda membeli ini bermakna anda secara tidak langsung telah membantu kami…”

Dia merenung kembali ke muka lelaki berbangsa cina itu. Lelaki ini masih setia tersenyum, sekaligus melembutkan hatinya  yang beku sebenarnya. Beku kerana akal sudah buntu. Tidak sampai hati rasanya hendak menunjuk emosi pada yang tidak bersalah. Dalam hati dia berkata-kata pada diri.. ‘dia ada kekurangan tapi masih mampu tersenyum..aku  ini hampir sempurna sifat fizikal pun masih lagi mahu merungutkah?? Bersabarkah aku??’ Dia berfikir sejenak..

Selepas itu dihulurkan 3 pasang keychain yang diperbuat daripada ukiran plastic keras, sepasang patung comel, sepasang ukiran berbentuk ‘LOVE’ dan sepasang bunga (kalau tak silap). Sedangkan sedari tadi dia masih membisu dengan senyuman masih terpamer di bibir, bisu sepertinya dia juga terjangkit dengan keadaannya itu. Dia membaca semula nota yang masih melekat ditangannya itu. Tertera sesuatu pada ayat akhir nota tersebut.

“ satu-RM 6, dua-RM10”

Hatinya tersentuh! Dia kira ini lebih baik daripada  meminta-minta pada manusia dengan membawa saja kudrat tulang empat keratnya ke hulu ke hilir sambil meminta simpati tanpa ada usaha sendiri. Tidak seperti manusia pada masa sekarang yang hanya tahu meminta-minta tanpa mahu usaha sendiri. Bila tidak dapat, diumpat keji di maki, bila dapat sedikit merungut, dapat banyak pun masih tidak bersyukur. Sebenarnya peristiwa yang berlalu beberapa saat dari saat ini betul-betul memberi pengajaran kepadanya. Diakah manusia yang tidak tahu nikmat syukur itu? Diakah manusia yang rendah kesabarannya itu sehinggakan baru diuji sedikit dia sudah membawa diri jauh ke Terminal ini. Walaupun tujuan asalnya dia ingin pulang ke kampung untuk  tenangkan fikiran, tapi tindakan itu seperti dia ingin lari daripada masalah saja. Sehinggalah dia mendapat pengajaran yang sebenar-benarnya pengajaran di saat ini! Kalaulah dia boleh terangkan pada lelaki ini bahawa dia bangga dengan usahanya dikala ini. Tapi dia tidak pandai hendak berbahasa isyarat seperti lelaki ini. Jadi dia hanya mampu tersenyum dan mengangguk kecil sebagai tanda dia senang dengannya.

Dia tertarik pada ukiran yang berbentuk hati itu. Dia tidak tahu kenapa tapi yang pasti dia sedang bersoal tentang hati, kemanusiaan dan kasih sayang. Manakan tidak, di saat ini pun dia sudah bersoal tentang kasih sayang sesama  manusia tanpa mengira sesiapa pun, cantik, buruk atau hodoh.Serentak itu dia hulurkan not merah RM10 kepadanya dengan senyuman masih setia di bibirnya. Lelaki ini menunjukkan riak gembira, menyebabkan dia makin melebar senyum. ‘Ya ALLAH, alangkah bahagianya kurasa pabila  melihat insan lain tersenyum keranaku!’. Astaghfirullah al adzim.. Tidak! Maksudnya, membuatkan orang lain tersenyum adalah satu kejayaan yang sukar dicapai sebenarnya. Dan pabila sudah berjaya, itulah yang menggembirakan.

Lelaki di depannya itu tersenyum lagi. Dia juga. Selesai saja menyimpan baki keychain ke dalam beg, lelaki ini menoleh ke arahnya semula. Lelaki ini membuat isyarat mengambil bayangan wajahnya dengan tangan kanan lalu digenggamnya dan diletakkan ke dada sisi kirinya. Dia  hanya memerhati tanpa memahami maksudnya. Seterusnya lelaki ini menyambung lagi dengan menunjukkan ibu jari sebagai isyarat ‘Good’ dan diarahkan jari telunjuknya kepadanya. ‘Maksudnya, hatiku baik? Astaghfirullah al adzim..tidak layak aku..’ dia  terpana, tidak menyangka dia digangkat begitu sekali. Dia hanya mampu mengangguk lagi dan tersenyum..

Sebaik kehidupannya yang cukup segala, selesa dan mampu berdiri sendiri, siapa sangka dia miskin sifat mensyukuri nikmat. Jika ada pun cepat benar lupanya. Lelaki ini walaupun masih kekurangan namun  masih mampu lagi tersenyum pada dunia dan membina hidup yang bermakna. Dia pula??

Selesai saja makan tengahari dia bergegas ke stesen bas untuk mendapatkan tiket balik ke Pahang. Tapi sayangnya sistem computer gagal mengeluarkan tiket jadi dia harus terus membayarnya di dalam bas nanti. Terasa seperti dia tidak diizinkan balik saja lagaknya keadaan ini. Tapi dia cuba bersikap tenang lagi lalu beralih ke kedai menjual buku dan majalah picisan di barisan kedai sekitar Terminal 1 tersebut. Sedari awal lagi dia sudah berniat untuk mendapatkan majalah islam ‘Solusi’. Sudah agak lama dia meninggalkan selakan pada majalah kegemarannya itu. Kebetulan pula tajuk kali ini agak menarik minatnya. ‘Mencipta Syurga Rumah Tangga’ Pastinya semua berkisarkan soal jodoh dan rumah tangga. Sekali lagi dia terpukul. Adakah ini salah satu daripada petunjuk ALLAH?


‘Ya KHALIQ teruslah bantu aku..!Aku percaya ajal maut jodoh pertemuan ditanganMu..’


Dia mendapatkan tempat diruang tengah tempat duduk awam dengan tujuan untuk pembacaan. Terasa tenang minda apabila membaca buku yang banyak memberi jawapan di saat dia benar-benar memerlukan. Betapa ALLAH melapangkan jalannya. Tapi hati ini masih terasa resahnya. Tidak tahu kenapa, yang ada di hatinya ini hanyalah ingin cepat sampai ke rumah. Dia rindu ibu..jiwanya rindu ketenangan..

Sedang leka membaca, seorang tua datang kepadanya. Si tua menghulurkan sesuatu nota kecil yang tertera pada kertas yang berwarna kuning. Bila diamati betul-betul..ohh..dia tercenggang lagi. Ayat seribu (1000) Dinar. Kata si tua itu..


“ambillah..nak bagi berapa pun pak cik tak kisah. Tak nak bagi pun takpe..ambil je dan amalkan..” dia memandang si tua itu dengan pandangan yang terharu.
Apakah si tua ini dapat menbaca isi hatinya yang hilang tenangnya ? Hinggakan disuakan padaku ayat suci ini demi memelihara hati ini daripada dimamah syaitan. Maha Suci ALLAH yang mengetahui segalanya.
Dia menghulurkan sekeping wang kertas dan si tua itu menerimanya dengan seulas senyuman. Si tua itu berpesan lagi..


“ amalkan baca selepas solat sebanyak tiga kali..insyaALLAH , bertambah murah rezeki..” dia pula hanya merenung kosong kerana mindanya sudah meneliti aturan ALLAH kepadanya ketika ini.
Tidak mungkin ini satu kebetulan melainkan dengan izin ALLAH juga. Mungkin ini sememang utusan ALLAH buatnya yang lalai ketika ini? Wallahu’alam..

Melihat pada ‘kebetulan’  yang banyak ini, membuatkan dia berfikir dan terus berfikir. Tanpa sedar sudah 1 jam dia menunggu ketibaan bas tetapi masih tiada. Agak lewat seperti biasa sebenarnya. Dia berkira-kira lagi. Memandangkan dia tidak membeli tiket lagi, jadi secara ikhlas dia membatalkan niat asalnya untuk pulang ke Pahang. Bila difikir-fikir dengan teliti inilah hikmah dari sistem komputer yang tidak berfungsi tadi sebenarnya. Tidak terasa ada pembaziran kerana dia masih tidak lagi membeli tiket. Sebaliknya dia menukar haluan dan berpatah balik ke belakang. Dia berjalan menuju ke stesen KTM semula dengan bisikan di hati agar dia cekal menghadapi dugaan selepas ini. Selagi dia meminta dan berusaha kerana ALLAH..insyaALLAH.. semuanya akan dipermudahkanNYA.

Di hostel, dia kembali menyambung membuka helaian majalah yang masih belum dibaca sepenuhnya ketika di terminal bas tadi. Ada satu tajuk yang menarik sebenarnya untuk dihayati. Pada majalah Solusi isu ke 29 itu dia membuka muka surat 36; Al-Kisah Tentang Jodoh. Ada sesuatu yang harus dia faham betul-betul tentang itu. Lalu dia sangat tertarik dengan kenyataan ini; dari seorang hamba ALLAH yang memilih jodoh melalui guru agamanya.

“ Pilihlah jodoh dengan dua cara. Cara pertama, jadilah orang yang baik. InsyaALLAH, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutilah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”

Lebih membuka minda lagi bila dia membaca kenyataan ini; bila ada yang menyatakan menjadi orang  yang baik satu proses yang panjang dan sukar menentukan sudah mencapai tahap orang yang baik atau belum.

“ Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang baik, insyaALLAH, ALLAH akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan yang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu akan direstui oleh orang yang baik!”

“ …Cuma sekali sekala sahaja ALLAH menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah…hikmah untuk kita, mungkin ALLAH hendak meninggikan lagi darjat orang baik ke darjat yang lebih tinggi, jalan untuk mendapat syurga.”

Subhanallah! Dia semakin jelas dan faham. Dan istikharah? InsyaALLAH, dia akan usahakan.


...bersambung...

No comments:

Post a Comment