Kata Kak Ida.. “ ..lelaki itu luarannya keras, tapi di dalam hatinya ada taman..”
Benarkah??
Tapi kataku pula..“ lelaki itu di luarannya besi tapi dalam hatinya ada kaca. Bila mana ia mula retak, aku sudah mula berasa cemasnya. Andainya kaca itu sudah pecah berderai, aku juga yang pedih terkena serpihannya. Ngilunya menusuk kalbu, membunuh segala seni rasa.”
Suara itu hanya bergema dalam lohong kalbu. Tak terluah suara hati itu dari bibir merah pudarku. Apatah lagi taipannya, tidak langsung menari dihujung jariku. Papan kekunci laptop di depan kupandang sepi. Ruangan ‘chat’ di bawah rangkaian ‘facebook’ itu aku biarkan kosong tanpa patah perkataan. Aku hanya menggumam sendiri. Baru sebentar tadi aku selesai meluahkan rasa hati yang semakin membuak-buak dek kerana sakitnya hati kepada orang yang selama ini aku sayang. Itu pun secara kebetulan aku ‘on line facebook’ malam ini dan kelihatan Kak Ida juga sedang ‘on line’.
-Assalamualaikum kak..-
Aku sekadar cuba memancing bicara.
-Wa’alaikum salam-
Seketika aku terkesima. Agak lama juga aku merenung sebaris ayat itu. Mungkin ini permulaan yang baik bagiku. Mungkin? Ya, mungkin dan aku yakin, walaupun kemungkinan tidak pernah menjanjikan kebenaran.
-Busy ke?-
-Maaf menganggu-
Kali ini aku memancing kelapangan dan situasi Kak Ida pula.
-tak ganggu juga. Busy layan facebook..-
-hehe..-
Aku tersenyum dengan ayat terakhir itu. Kakakku ini walaupun pendiam tetapi agak kelakar juga orangnya. Jarang sekali aku dapat peluang untuk berbual-bual dengan kakak kesayanganku yang seorang ini. Lebih-lebih lagi pabila wanita ini sudah mendirikan rumah tangga. Tanggungjawab kepada keluarga menjadikan masa untukku tidak terluang agak lama. Bermula dengan gelaran seorang warden di sekolahku dulu, kini dia telah bergelar kakak kepadaku. Sebetulnya, kakak angkatku.
Aku dapat merasakan berat kepalaku semakin ringan bila mesej ‘chatting’ku berbalas. Lantas tanpa di pinta aku memulakan langkah ke depan walaupun terkesan agak pincang.
-kak, nak tanya sikit boleh?-
-banyak pun takpe Ros-
Ros. Nama yang sinonim denganku dan Kak Ida memang gemar memanggilku begitu sejak dari dulu lagi. Sebelum aku mencari kehidupan yang baru. Sehingga kini nama itu kekal buatku, malahan aku juga tidak menjadikan ianya sebagai satu masalah. Bagiku, nama tidak mengubah keperibadiaanku. Cukuplah hanya sekadar nama..
-Akak-
-sejauh mana akak kenal Amir?-
-maksud Ros?-
-maksud Ros, dia bagaimana orangnya?-
-perangainya..-
-hati budinya..-
Kerana terlalu ingin tahu semuanya, aku galak bersoal. Ku suakan semuanya tanpa berselindung.
-entahlah Ros. Akak pun tak tahu sangat-
-hehe..-
-maaf Ros. Akak pun hampir lupa yang Ros kenal dia melalui akak-
-kenapa Ros?-
Aku kaku seketika. Berdebat antara akal dan hati, samada mahu meneruskan niat sebenar atau lupakan saja. Atau mungkin ini saja peluang yang ada? Antara malu dan segan aku terpaksa teruskan juga. Malu kerana aku tidak menjangka aku akan pergi sejauh ini. Aku segan. Segan kerana Kak Ida pasti tergelak dengan ceritaku nanti. Risau pula nanti Kak Ida beranggapan aku saja yang syok sendiri. Benar, rasa malu dalam diri ini masih bersisa lagi.
-akak tau tak..-
Aku memulakannya sekali lagi. Seketika tiada respon. Tapi kedegilanku telah mendesak aku untuk untuk mengulangi ayat yang sama sehinggalah aku mendapat respon dari Kak Ida.
-akak tau tak?-
-akak tau tak..?-
-tau apa Ros?-
-semalam..-
-iye?-
Ada rasa prihatin pada nadanya.
-semalam Ros terus putus ‘contact’ dengan dia-
Ah! Pipiku terasa hangat lagi dek kerana curahan air jernih dari sepasang mata coklatku. Cepat saja kukesat linangannya kerana merasakan pandanganku sudah semakin kabur.
-kenapa sampai jadi macam tu Ros?-
-apa yang dah jadi sebenarnya?-
-entah.-
Hanya itu yang mampuku luahkan setakat ini.Aku seolah-olah tidak mampu merungkainya lagi. Setiap kali aku merungkainya, setiap itu juga air mataku menjadi terlalu murah.
Suasana senyap seketika. Tiada respon dari Kak Ida mahupun dariku. Aku tidak tahu bagaimana hendak memulakannya. Semuanya agak menyerabutkan. Akhirnya, aku memulakannya dengan bersahaja. Cuba mengikut rentak dan rasa hati yang sudah mula hilang arah tujunya.
-akak nak tau tak..-
- dari tadi akak tunggu Ros-
-selama tiga tahun kenal..-
-bulan satu awal tahun hari tu kami jadi ‘teman istimewa’- Aku mengulangi ayatnya.
TEMAN ISTIMEWA- apa maksudnya ye??Aku masih lagi bersoal walaupun aku sendiri seperti faham akan maksudnya. Tapi..betul ke aku benar-benar faham maksudnya? Ya! Aku faham. Semua insan yang berakal di dunia ini faham maksudnya. Tapi mungkin cara pemahaman dan penilaian yang membezakan kita dengan yang lain. Bukankah setiap orang punyai cara pemahaman dan penilaian yang tersendiri? Malahan teori Freud Sigmud dan Erik Erikson menyatakan bahawa manusia mempunyai enam peringkat pemikiran. Dan aku mempercayainya. Jika tidak, masakan kita akan mengeluarkan pendapat yang berbeza-beza. Malahan siap berdebat-debat lagi. Bukankah itu bukti kukuh setiap manusia ciptaan ALLAH ini unik. Unik dengan keistimewaan tersendiri sehingga kadang-kadang sukar difahami dan menyesatkan yang lain. Astaghfirullah al-azim..sampai ke situ fikiran amarahku. Aku meraup wajah sekali dua. Beralih saja tangan dari muka, terus mataku terarah pada skrin laptop. Mesej Kak Ida sudah lama tertera di ruang ‘chat’.
-iye?-
-ewah-ewah!-
Kak Ida pula menggiat, namun aku dapat mengesan ada nada terkejut seperti tidak menyangka. Aku sendiri pun tidak menyangka akan pergi sejauh ini, ini kan pula Kak Ida.
-tapi bulan dua hari tu dah putus-
Tanpa berniat mencantas cerianya aku menyambung lagi. 14 Februari 2010. Aku sangat ingat tarikh itu!
-kenapa?-
-entah. Katanya dah jumpa yang lain-
Aku berterus terang tanpa berselindung. Sedangkan dalam hati Allah saja yang tahu pedihnya mengungkapkan kata-kata itu. Mengharap pada yang tak pasti, akhirnya aku yang lara sendiri.
-herm..entahlah Ros-
-akak pun tak kenal sangat dengan dia-
-sekadar kawan masa study dulu saja-
-maafkan akak Ros-
-maaf? Kenapa kak?-
-tak. Akak tak salah apa-apa pun-
Aku menafikannya tanpa menunggu jawapan dari Kak Ida.
-Ros tak kisah sangat kak. Tapi janganlah senang-senang nak mainkan perasaan orang-
-Ros pun ada harga diri juga. Bukannya semudah tu nak minta dan tarik balik semua tu.-
Aku sudah mula emosional. Tanpa sedar aku sudah melepaskan geram pada orang lain pula. Dan sememangnya Kak Ida menyedari perubahan yang tak kurancang itu.
-Ros jangan marah dia. Dia memang macam tu..-
-tak. Ros tak pernah marah dia. Dia yang selalu marah dengan Ros..-
-Ros, sabar. Ros tengah marah ni..-
Sesekali Kak Ida cuba memujukku namun semuanya seperti sudah terlambat.
-bila dah lama pendam, memang macam ni kak.- Aku masih mengharapkan pengertian.
-bila Ros tanya je dia tak nak jawab. Siapa yang tak sakit hati kak?-
Ah! Aku sudah gagal mengawal perasaan sendiri. Betapa aku terlalu memendamnya selama ini.
-Ros nak akak tanya dia?- tiba-tiba Kak Ida memberiku soalan cepu gangsa yang aku rasakan tiada kepentingannya lagi. Dengan pantas aku menyangkal.
-tak perlu kak. Semua tu dah tak penting lagi- Muktamad!
-Cuma satu kak..-
-ubahlah diri untuk orang lain yang akan datang..-
-bukan untuk Ros lagi.-
-mendiamkan diri tak akan selesaikan apa-apa pun kak..-
Madu yang kurasa manis dulu sudah mula terasa tawarnya.
-takpelah ros kalau dah macam tu..-
Aku dapat merasakan bahawa Kak Ida sudah kehilangan kata-kata. Dan semakin lama mesej ‘chat’ku tiada balasan lagi. Namun aku tidak berasa hati kerana aku sendiri pun memerlukan ruang untuk bernafas pada saat ini. Dalam perasaan sebal aku membuka semula peti ‘chat’. Membaca kembali apa yang telah kuluahkan. Entahlah. Aku pun tidak tahu kenapa aku ingin membacanya semula. Mungkin sekadar ingin meredakan rasa hati agaknya kerana telah terluah juga apa yang aku pendamkan selama ini. Aku meneliti satu persatu barisan ayat tersebut. Mencari sesuatu yang aku sendiri tak tahu apa yang kurangnya. Namun tiba-tiba aku menangkap satu soalan yang tidak berjawab. Mungkin aku terlepas pandang ketika aku sedang melayan emosi hati sebentar tadi. Kiranya soalan itu benar-benar memberi jawapan kepada persoalanku selama ini…
-dia dengan Dila dah takde apa-apa ke?-
Aku tersentak, teringat pada mesej Kak Ida suatu masa dulu pabila kuceritakan yang dia selalu sakit.
“dia sakit rindu pada Di*** la tue”. Mengungkap nama seorang gadis yg berasal dari Melaka. Cukuplah hanya itu yang kutahu. Selebihnya aku diamkan tanpa soal. Pada masa itu, saat menerima lamaran untuk menjadi ‘teman istimewa’nya aku lupa bahawa dia sudah ada seseorang.
Aku kembali kepada alam nyata. Kurenung dalam-dalam sebaris ayat tersebut. Perlahan-lahan mataku terpejam. Rapat. Sedangkan dalam hati masih celik dengan situasi yang tak terduga ini. Berfikir sejenak, mentafsir dalam-dalam maksud sebaris ayat itu. Perlahan-lahan juga aku mengikis sisa-sisa perasaan yang melekat di sudut hati kecilku ini sehinggakan aku terasa kosong. Kosong seolah-olah aku hidup tanpa perasaan lagi. Kini aku benar-benar kehilangannya. Aku merasakan aku sudah menemui jawapan kepada 1001 persoalan yang ku genggam selama ini. Sesungguhnya ALLAH tuhanku, benar-benar menyayangiku!
ALHAMDULILLAH…
Ya Allah... kenapa semua ini terjadi padaku?
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 216)
Ya Allah.. kenapa terlalu berat ujian ini?
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286)
Ya Allah.... terasa kehidupan ini sudah tiada maknanya lagi bagiku.
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139)
"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)
Ya Allah... bagaimana harus kuhadapi semua ini?
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Al-Baqarah : 45)
Ya Allah... apa yang akan kudapat daripada semua ini?
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..(At-Taubah : 111)
Ya Allah.... kepada siapa harus ku berharap?
"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah : 129)
Ya Allah...berimankah aku?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta? “(Al-Ankabut : 2-3) –terima kasih iluvislam.com-
20/09/2010-10 SYAWAL 1431H-7.18PM


No comments:
Post a Comment