Sayang?
Sekali lagi aku membaca tulisan yang tertera di atas skrin telefonku. Aku termenung seketika. Ternyata aku memang tidak salah baca. Aku termenung lagi, agak lama memikirkan persoalan yang tidak terjawab suatu masa dulu. Lapan bulan yang lepas perkataan itu pernah menghiasi hubungan aku dengan dia. Namun pada tanggal 14 februari 2010, semuanya berakhir begitu saja tanpa penjelasan dan jawapan yang tepat. Semuanya tergantung sehinggalah aku memhubunginya kembali atas dasar persahabatan. Sedangkan aku tahu pada masa itu sudah agak mustahil untuk aku dengan dia kembali semula sebagai seorang sahabat setelah pergi jauh dari kedudukan asal. Namun perasaan rindu itu memaksa aku menebalkan muka dan menagih kembali persahabatan yang tergantung hampir empat bulan yang lalu. Tak mungkin aku akan mempersiakan persahabatan yang telah aku jaga tiga tahun lalu hanya kerana kesilapan dalam tempoh sebulan itu. Tiga tahun bersahabat namun hanya sebulan aku dan dia menyelami hati dan perasaan, segalanya terburai dalam sekelip mata. Aku terasa seperti bermimpi. Alasannya, dia sudah ada yang lain, malah dengan bangganya dia memberitahuku. Kusangkakan gurauan tapi kerap kali bersikap seperti itu, akhirnya aku belajar terima kenyataan walaupun tanpa penjelasan. Malahan kali terakhir mesej pun aku terima sesuatu yang menyakitkan, namun aku masih berlagak tenang.
“ Apa lagi mahunya Iman ni?! Penting sangat ke soalan tu untuk ana jawab??! Iman fikirlah sendiri. Ana tengah tension lagi ‘busy’ ni. Ana tak ada masa untuk fikirkan semua tu!” aku terpana.
‘Ana’ atau dalam bahasa ruminya ‘saya’ dan ‘enta’ atau ‘awak’, bagi lelaki sementara ‘enti’ kata ganti diri bagi kaum hawa. Sememangnya aku dan dia lebih selesa membahasakan diri sebegitu.
Untuk pertama kalinya aku terasa perit pada bahasanya. Padahal soalannya sangatlah mudah dan ianya ditimbulkan oleh kenyataanya juga. Aku sekadar meminta kepastian kerana sudah mula terasa percanggahan dalam mengerti maksud sebenar istilah tersebut. Sejauh mana aku dan dia faham dengan istilah ‘teman istimewa’? Jika itu tidak penting mengapa dulunya pergaulanku dengan rakan lelaki yang sekelasku dipersoalkan? Walhal aku hanya menganggapnya sebagai seorang adik apatah lagi beza umur antara aku dan lelaki itu hampir tiga tahun. Dia juga memanggilku dengan gelaran kakak. Jadi aku tidak pernah nampak masalahnya di sini untuk aku berkawan dengannya. Sebaliknya dia pula yang mengingatkanku agar tidak terlalu rapat dengan ‘adik’ ku itu. Malahan cemburunya kadang-kadang menyesakkan nafasku. Masakan tidak, aku baru hanya tersentuh tangan dengan rakan sekolej denganku. Sejujurnya, lelaki asing itu yang tersentuh tanganku kerana masing-masing terpegang palang bas yang sama sewaktu hendak turun dari bas. Dan tujuanku bercerita kepadanya hanyalah untuk berkongsi cerita kerana waktu itu dia yang bertanyakan perjalananku sewaktu ke kolej. Najtijahnya kejujuranku itu, aku pula yang dimarahinya. Itu hanyalah terpegang, bagaimana pula sewaktu praktikalku selama sebulan yang sebelumnya; selama dua minggu aku berhadapan dengan pesakit lelaki, sehari selama tujuh jam, yang mana setiap empat jam perlu membuat pemeriksaan kesihatan, menyentuh tangan, kaki, itu dan ini. Mengapa itu dia tidak pernah persoalkan? Atau mungkin dia lupa bahawa sememangnya kerja ku suatu hari nanti selalu bersentuhan kulit, memegang tangan dan semua bahagian tubuh perempuan dan lelaki kerana tujuan perawatan. Lupakah dia??
Sebelumnya juga dia bersoal kembali kepadaku. Apa yang aku faham dengan istilah ‘teman istimewa’. Jelas, aku sudah nampak perbezaan fahaman di situ. Tapi aku tidak sesekali mengiakannya rasa hati itu selagi aku tidak mendapat penjelasan sebenar darinya. Aku yang bertanya kepadanya, mengapa pula aku yang harus menjawabnya kembali? Sedangkan dia hanya menggantungkan persoalan itu tanpa sepatah jawapan sehingga sekarang. Mudahnya! Lagi memeningkan kepala, jika tiada yang perlu mengapa harus ada kongkongan dan cemburunya padaku? Ah! Semakin aku berfikir, semakin banyak pula persoalan yang tidak berjawab.
Kisah enam bulan yang lalu akhirnya begitu. Kini, tanpa perasaan malu aku menagih kembali hubungan persahabatan itu. Sememangnya banyak perbezaan dulu dan sekarang. Tidak lagi semesra dulu. Aku dan dia seolah terlalu berhati-hati dalam setiap butir bicara dan tindakan. Tiada lagi renggekan manja mengadu rasa, merajuk dan memujuk. Aku tidak mampu untuk bermain perasaan seperti dulu lagi. Lukanya tidaklah sepedih hirisan belati, namun hati yang punya perasaan ini masih terasa ngilu. Kini segalanya seperti hampir berulang dan bermula kembali. Tambah tidak sedap hati bila ianya bermula di bulan puasa yang mulia ini.
Aku teringat lagi pada hari pertama puasa bila dia yang mengejutkan aku untuk bangun sahur. Aku agak terkejut pada mulanya kerana aku tidak menyangka dia masih mengingatiku pada saat –saat sebegitu. Dengan nada bersenda aku pula memintanya agar mengejutkanku pada setiap subuh. Jawapannya,aku terkesima.
” InsyaALLAH sayang..”
Kusangkakan itu hanya gurauan tapi dia benar-benar mengejutkanku pada setiap subuh untuk bersahur. Sehingga hari keempat puasa dia masih setia mengejutkanku. Kebetulan pula pada masa itu aku agak keberatan untuk bersahur kerana aku tinggal berseorangan di hostel kolej. Namun pujukannya padaku untuk bersahur dengan bicara ‘sayang’ menbuatkan aku terus-terusan berfikir.
“Jangan macam tu sayang oii…sekurangnya minum segelas air, ambil berkat bersahur..” prihatinnya masih terasa walaupun dalam senda.
Ah!Mengapa aku harus berdepan lagi dengan persoalan perasaan seperti ini. Aku tidak kuat lagi seperti dulu. Aku mudah rapuh dengan perhatian yang tidak terduga sebegini. Lalu aku tanyakan soalan adakah aku tidak membebankannya dengan ‘tugasan’ seperti ini. Katanya, “..tidak menyusahkan juga demi orang yang disayang..” dan ketika membaca sebaris ayat ini aku sedang menahan rasa hati agar aku tidak pergi jauh dengan khayalan perasaan. Hati yang berbunga khayalan cepat-cepat aku siram dengan racun dunia nyata. Aku takut dengan perasaan sendiri…! Takut kerana suatu ketika dulu aku dan dia pernah gagal dalam persoalan ini. Andainya rasa itu hadir lagi, bersediakah aku andai gagal untuk kali kedua? Jika dulu aku terasa seperti orang bodoh yang telah dipermainkan. Kini? Terasa akan dipermainkan lagikah aku?
Hari kelima puasa aku terasa ada kelainan sedikit. Aku tidak menerima mesej darinya sebagai isyarat mengejutkan aku untuk bersahur. Sejujurnya aku tidak menharapkannya mengejutkan aku kerana aku telah bersahur lebih awal bersama-sama rakan serumah. Aku cuma ingin melihat sejauh mana dia akan mampu untuk mengejutkanku pada setiap subuhku. Aku menunggunya dari pukul 4.00 pagi hinggalah masuk waktu solat subuh. Pelik! Aku tidak menerima sebarang mesej darinya. Kenapa agaknya?
Erm..mungkin dia sudah bosan untuk mengejutkanku pada setiap awal subuh agaknya. Aku membuat andaian sendiri sedangkan hatiku masih terselit rasa bimbang. Entah apa yang aku bimbangkan aku pun tidak pasti. Malamnya selepas isyak aku menghantar mesej kepadanya. Hanya sekadar bertanyakan sedang berbuat apa dan bertanya khabar. Dan jawapannya…
“Bertadarus sayang…”
Sayang? Sekali lagi??
Bertadarus. Aku sememangnya sudah biasa dengan rutinnya sebegitu. Tambahan pula di bulan puasa yang mulia ini. Malahan kadang-kadang dia juga turut mengajakku untuk bertadarus bersama; walaupun hanya sekadar dalam mesej.
Dan pada awal subuh ini, hari keenam puasa..aku pasti akan menunggu lagi mesej darinya.Masih adakah mesej itu?-sayang bangun sahur!
Penantianku masih tiada perubahan…tiada lagi mesej darinya. Tapi..sampai bila agaknya aku akan menanti begini?
Aku mencongak sendiri..samada aku perlu menunggu lagi pada hari yang akan datang atau aku harus lupakan. Apa pula rasionalnya untuk aku menunggu lagi? Dan..persoalan yang paling pelik, kenapa aku masih ingin menunggu lagi?
Aku tiada jawapan untuk persoalan itu.
17/8/2010
Dan subuh ini, hari ke tujuh bulan puasa yang mulia ini aku masih setia dalam penantian yang tidak memberi makna apa-apa pun. ‘ Tidak memberi apa-apa makna? Benarkah? ’ hati kecilku bersoal.
Biarlah aku menghitung hari ini sampai aku tak kan terhitung lagi nanti..biarkan.
Namun sangkaanku meleset apabila penantianku berakhir juga. Pagi itu ketika aku sedang bersahur, telefon bimbitku bernada seperti biasa. Skrin telefon bimbitku jelas menunjukkan namanya sebagai nota mesej baru masuk. Dalam diam hatiku tiba-tiba berbunga sehinggakan aku spontan tersenyum sendiri sambil tanganku ligat menekan papan kekunci telefon untuk membuka peti mesej. Terasa lain perasaan bila sudah dua hari subuhku tiada mesej dari dia. Ah! Perasaan itu datang lagi!
“Selamat bersahur ^_^” aku semakin melebarkan senyum kerana tertarik dengan simbol comel di hujung mesej.
Walaupun aku kerap mendapat simbol yang sama pada setiap hujung mesejnya tapi perasaan itu seolah-olah aku mendapat sesuatu yang baru pula. Aneh benar perasaanku ini. Itulah kata orang, bila dah dihanyut rasa, semuanya jadi indah di pandangan mata. Apakah aku juga dalam keadaan yang sama? Dengan dia untuk sekali lagi? Tak mungkin aku mampu. Tak mungkin! Atau..entahlah.Aku berniat untuk memanjangkan sedikit adegan mesej pada pagi itu.
“Dua hari menghilang?” aku sekadar meringkaskan pertanyaan.
Sesaat dua tiada respon. Aku menunggu lagi. Sehingga hampir setengah jam berlalu masih juga tiada balasan. ‘Mungkin dia sedang bertadarus lagi agaknya.’ Hatiku memujuk lembut. Lalu aku mencapai telefonku dan menaip sepatah perkataan buatnya sebagai menghargai mesejnya pada awal subuh tadi.
“Thanks..” mesej itu dihantar melayang seiring dengan khayalanku yang sudah menerawang jauh hinggalah aku tertidur.
Aku terjaga semula pagi itu pada pukul 7 lebih. Aku seperti biasa akan bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri dan bersiap-siap untuk ke kolej. Pada pagi-pagi begini otakku terasa kosong. Bermula dari keluarnya aku dari pintu apartment sehinggalah aku memasuki kawasan kolej. Setiba di dewan kuliyyah aku sudah mula merasa kelainan. Tiba-tiba kepalaku terasa berat seiring dengan kelopak mataku. Aku mengantuk lagi. Seisi kelasku agak terganggu kerana aku sudah mula tersenggok-sengok kerana memancing lena. Bila tersedar saja, Nasri si budak Sabah yang duduk di barisan hujung kiriku sudah tersenyum kepadaku. Pastinya dia senyum bukan kerana kecantikan rupaku kerana aku sedar akan kecantikanku yang tak seberapa ini, tapi sudah pasti kerana geli hati dengan dramaku sebentar tadi. Kelas ke dua aku semakin mengantuk. Sehinggakan mahu saja aku lentukkan kepalaku di atas meja. Tapi aku risau akan persepsi pensyarah pula terhadapku nanti. Aku memerhati keadaan sekeliling sehinggalah pandanganku menangkap sesuatu di atas meja Mai, gadis manis kecil molek dari Port Dickson. Novel Anis Ayuni, penulis pujaanku! Kesudahanya, seisi lima jam kelas aku habiskan dengan membaca hampir separuh isi novel ‘Sungguh Aku Cinta.’
Dan sungguh, sesungguh-sungguhnya aku cinta! Membaca novel ini membuatkan aku selalu tersenyum sendiri. Tercuit hati dengan watak lelaki yang kelakar tetapi tak mudah mengalah untuk memiliki sekeping hati wanita idaman. Namun aku terasa diri dengan watak wanitanya yang membawa lara hati sehinggakan menolak untuk mendekati lelaki walaupun sekadar kawan. Novel penulis kegemaranku itu kuhentikan bacaanya di pertengahan. Terasa tidak mampu untukku meneruskan bacaanya lagi. Terasa hati mungkin. Adakah aku juga begitu? Selama ini aku hanya mencuba setia pada yang satu.Dari kali pertama aku mengenal lelaki sehinggalah yang sedang aku miliki kini. Walaupun aku sudah tidak memiliki apa-apa lagi dengan dia, tapi hatiku akan ada padanya selagi dia bukan milik orang lain pada pengetahuanku; seperti yang pertama dulu. Penghujung kisahnya dia menikahi wanita lain, berakhir juga kesetiaan tiga tahunku di situ. Dua tahun merawat luka sehinggakan lelaki yang ke dua ini memberi kasih. Sayangnya, belum sempat aku mekarkan kuntumannya, menghirup wangiannya, kasih itu ditarik semula dari hatiku. Terasa maruah dan harga diri seperti dipermainkan. Namun aku cuba berlagak biasa. Malah aku masih mampu menghubunginya seperti rakan-rakan yang lain. Tapi, tetap ada perbezaannya. Bagiku, niat untuk menyambung persahabatan dengan dia adalah kerana aku nampak betapa perlunya aku membetulkan keadaan yang sebenar. Aku ingin dia tahu bahawa aku bukanlah wanita yang mahu dimainkan sesuka hatinya. Aku juga ingin dia tahu bahawa aku tidak pernah mengharapkan lebih darinya melainkan sebagai seorang sahabat sahaja seperti sebelumnya. Bukan lebih daripada itu seperti yang pernah dia minta dan menariknya semula dariku suatu ketika dulu.
Sayangnya hatiku yang lagi satu masih mengharapkan sesuatu yang tidak pasti. Setianya aku pada dia sehinggakan aku tidak mampu dan tidak pernah mencuba untuk pergi jauh. Jika ada pun aku cukup sekadar berkawan untuk bergelak ketawa. Suara hatiku berkata aku akan melepaskannya dari hati bila hatinya telah diberi atau dimiliki oleh yang lain. Di situ barulah aku yakin untuk beralih pada yang lain. Itulah aku. Tapi nafsuku pula menyatakan ingin saja aku tinggalkannya di saat dia memerlukan aku. Biarkan dia merasa kembali apa yang kurasa atas perbuatannya dulu. Tapi bukankah itu pedih sekali? Masakan tidak; aku pernah merasainya. Tapi mungkin tidak pada dia.Ah! terlalu banyak ‘tapi’nya. Yang mana satu kemungkinan yang tepat aku sendiri pun tak tahu. Hakikatnya, bila bersoal tentang rasa; dia terlalu menyakitkan hati. Bila bersoal tentang kebenaran ilahi; aku tidak betah untuk dia, masih banyak kekurangan dan jauh ketinggalan darinya. Bila bersoal tentang simpati pula; aku tak sanggup menyakitinya. Bila bersoal tentang kecewa; aku cukup membencinya. Namun bila kubersoal tentang hati…aku masih menyayanginya; walaupun ianya semakin pudar.
Hari kelapan puasa, 8 Ramadhan aku menerima lagi mesej dari dia. Kali ini agak bernada teruja dan biasa-biasa saja.
“ sahur..! sahur!^_^”
Aku membaca mesej dari dia tanpa perasaan. Entahlah. Tiba-tiba aku tidak teruja dengan mesej darinya sehinggakan aku tidak berminat untuk bersahur. ‘ Merajuk ke aku kerana dia tidak membalas mesejku semalam? Sudahlah dua hari tidak mesej. ’ Aku bermonolog. Aku tiada jawapan yang tepat. Aku biarkan mesej itu tanpa balasan. Biarkan dia membuat andaian bahawa aku masih belum bangun ataupun biarkan dia membuat andaian sebaliknya. Yang pasti aku tak akan membalasnya namun masih menunggu mesej seterusnya jika ada. Tiada. Tidak ada nampaknya, cukup sekadar satu mesej saja. Sekali lagi fikiranku melayang. Memikirkan kesudahannya kisah ini.
‘Ku membenarkan jiwa untuk cintaimu..kupersembahkan hidupku untuk bersama kamu dan diriku untuk kamu..belum pernah ku merasai begitu
Semua itu telah berlalu harapanku palsu..dan mungkin hari yang satu terusku tertunggu..dihatiku masih kamu..belum pernah ku ingin terus menunggu…
Aku lemah tanpa kamu ..Ku inginmu dampingiku ..Aku fahami aku bukan terbaik untuk dirimu..Sampai syurga kumenunggu sampai syurga kucintamu..hanya satu…hanya kamu!
Kumembiarkan hatiku untuk merinduimu..kumenghamparkan sakitku untuk tatapan kamu..bersamamu harapanku hilang dalam terang yang membutakanku..’
Malamnya sekitar pukul 11.23 malam aku menerima mesej darinya. Terkejut, namun aku cuba berlagak selamba. Terkejut kerana tidak pernah dalam bulan mulia ini dia akan menghantar mesej kepadaku pada waktu-waktu begini; sebelum ini juga. Jika ada pun selepas pukul 12 tengah malam. Jimat kredit kerana katanya nombor baru ini tidak dapat digunakan dalam khidmat 8pax celcom. Manakan tidak, aku menggunakan nombor pelajar, jadi tidak tersenarai sebagai nombor yang boleh di-8pax. Aku membukanya peti mesej dengan persoalan yang aku sendiri tidak tahu apa tanyanya. Membaca saja perkataan pertama, aku sudah mengerut dahi.
“ ros..-‘;--<@
orkid..(;#;)
tulip...---(%)
semua bunga ini cantik..
tapi..
tak setanding dengan keindahan perkenalan kita yang ALLAh anugerahkan…good night..”
Spontan aku terangkat kening. Namun tidak bermaksud apa-apa pun. ‘ Indah ke? ’ aku bertanya sendiri. Entah, tiba-tiba aku kehilangan idea. Kesudahannya aku tinggalkan mesej itu tanpa balasan. Sebaliknya aku ligat melayan ruangan sosial facebook di laptopku. Berpura-pura sibuk sedangkan mindaku melayang mencari dan menilai rasa hati yang sudah tidak rasional pada masa itu.
19.08.2010- 9 Ramadhan.
Aku tidak mendapat mesej darinya pada pagi ini. Mungkin dia terasa agaknya kerana aku tidak memberi respon mesejnya semalam. Tapi benarkah? Bukan ke aku yang terasa hati sehingga tidak memberi respon semenjak dua tiga hari ini. Mentafsir perasaan itu bukannya semudah ABC. Jika ia semudah itu tidaklah aku tersalah perhitungan sebelum ini. Akhirnya aku juga yang makan hati berulam jantung. Salah aku ke atau salah dia? Atau kedua-duanya? Sekali lagi soalanku tiada jawapannya.
Malam ini aku sengaja melayan facebook lagi. Pastinya yang pertama aku akan melewati bahagian laman utama dulu. Tiba-tiba di bahagian paling atas sekali mataku menangkap sesuatu. Namanya tertera dengan suatu kenyataan yang baru. Serentak itu perasanku berbaur rasa. Spontan aku tertawa, entah apa yang melucukan aku pun tidak pasti. Namun dalam hati terasa hiba. Serta –merta mukaku terasa panas.
“..have angaged? ” akhirnya terluah juga perkataan itu daripada bibirku.
‘ Benarkah? Adakah ini masanya untuk aku mengundur penantian? Adakah ini jawapannya kepada sebuah persoalan yang selama ini selalu kutanyakan kepada diri sendiri? ’. Tiba-tiba dadaku terasa pedih; salah satu tanda aku sedang tertekan ataupun terkejut. Malahan jika emosional pun aku akan cenderung untuk merasa kepedihan ini. Aku sudah biasa dengan keadaan sebegini. Kecewakah aku?? Tidak! Aku cuma sudah mula terasa kehilangan walaupun pada hakikatnya sebelum ini aku tidak pernah memilikinya. Aku membaca kesemua komen yang tercatat di halaman tersebut. Satu persatu, penuh berhati-hati aku membaca setiap patah perkataan agar aku tidak tersalah tafsir nanti. Dipertengahan komen aku menemui jawapannya…
‘..saja je tulis dah tunang..’ Ah, aku sudah terasa pedih di mata. Ingin menangis rasanya.
Tapi untuk apa menangis? Sekali lagi aku keliru dengan perasaan sendiri. Akhirnya aku juga menulis sesuatu di ruangan komen, mengucapkan ucapan yang sama seperti rakan-rakan ynag lain.
“ TAHNIAH!!” sengaja aku gunakan tulisan huruf besar sebagai tanda perasaanku yang sedang geram dengan dia yang menjadikan perkara ini sebagai gurauan.
Geram kerana penyudahnya aku juga yang terasa pedih walaupun hakikatnya dia tidak pernah tahu pun tentang kepedihan hati ini.
Pagi ini, 20hb Ogos; 10 Ramadhan, aku terjaga bila mendapat mesej dari dia. Dalam pandangan yang berbalam-balam aku membacanya satu persatu.
“ Kadang kala kita terlupa kita pernah gembira bersama dia, kadang kala kita terleka yang dia yang selalu buat kita tertawa, kadang kala kita tersenyum kerana dia pernah buat kita bahagia, adakalanya kita menangis kerana telatahnya membuatkan kita merinduinya..orang itu adalah orang yang pernah berkongsi suka dan duka bersama kita dan kepada yang menerima mesej ini senyumlah kerana selama perkenalan, anda tak pernah dilupakan..selamat bersahur..”
Aku berfikir sejenak. Pada awalnya aku sememangnya terasa kesannya di hati namun bila memikirkan itu hanyalah mesej biasa, aku melupakannya. Aku tidak membalasnya kerana kreditku sudah habis. Malahan aku juga tidak berniat untuk membalasnya jika aku mempunyai kredit sekalipun. Mungkin masih terasa dengan perkara semalam; bertunang.
Lewat pukul 1.30 tengahari aku menghantar mesej kepada dia.
“ TAHNIAH! Enta dah bertunang..” sengaja aku mengusik lagi. Cepat saja mesej itu berbalas.
“ Baca juga komennya..Mana ada bertunang. Saja mahu lihat respon kawan-kawan..” dia seolah-olah membela diri. Aku tersenyum.
“Tau..kalau betul pun apa salahnya kan? Kalau macam tu lepas ni Iman pun nak tukar statuslah. Mahu letak ‘statement’ sudah kawinlah.” Balasku pula; sengaja memancing reaksinya.
“ Ana pun nak tukar juga letak ‘statement’ kahwinlah. Kena cari calon isteri yang sesuai ni..” tambahnya lagi. ‘Amboi! Nak tiru aku pula..’bisikku dalam hati.
“Mana boleh enta tiru…!” akhirnya aku luahkan juga suara itu dalam mesej; masih dalam nada bergurau.
“ Mana ada ana tiru..ana memang dah lama plan macam tu. Iman tu yang tiru ana..”
‘Ah! Aku pula dipersalahkan?’ Terasa membara di hati aku mengeluarkan kenyataan ini, cuma tiada tanda seru saja. Jika ada, dah lama perang besar agaknya. Entahlah, tiba-tiba saja aku emosional.
“ Ok fine. Just go on with your planning. ‘Better single’ macam ni…nak tengok juga siapa calon isteri enta tu nanti..:$” aku cuba meredakan amarahku sendiri.
“^_^” satu mesej ringkas darinya sebagai balasan mesejku sebentar tadi.
Aku hanya membiarkan saja tanpa balasan. Seraya itu aku terus ke surau untuk menunaikan solat zuhur demi meredakan hatiku yang sudah dihangatkan seketika tadi.
21/08/2010; 11 Ramadhan-4.28pagi
Mesej darinya seperti biasa pasti akan mengejutkan aku dari tidur. Mutiara kata bulan ramadhan itu aku tatap hingga ke ayat yang terakhir, “ selamat bersahur.” Tiba-tiba terbit persolan nakal di kepalaku.
“Thanks…dah ‘kawin’ belum?” aku bermaksud menyambung cerita semalam. Senyap. Namun kembali mendapat respon setelah hampir belasan minit berlalu sehinggakan aku sempat untuk membasuh muka dan menjerang air.
“Tunggu dan lihat saja di facebook..” padat dan ringkas jawapannya.
“Iye? Amboi! Seriusnye..single lagi baik kan. Macam Iman, nak keluar atau ‘flirt’ dengan siapa-siapa pun tak ada orang nak marah. Tunang orang ke…laki orang ke..ayah orang ke..?”aku cuba berjenaka di hujung mesejku.
“ Terpulanglah pada Iman. Yang pasti ana memang ‘single’ dan tak paksa Iman untuk percaya. Tapi tak baik juga menipu bulan puasa ni kan. Buat tambah dosa saja. Ana mengantuk sangat ni. Mahu tidur sekejap sayang. Jangan lupa solat nanti.” lanjutnya lagi. Prihatin! Terasa juga aku dengan kenyatannya; menipu di bulan mulia ini. Sungguh! Aku tak berniat begitu. Sekadar bergurau saja.
“Okeylah tu. Tak macam iman. ‘Single-single’ pun sampai hujung bulan puasa ni saja. Insya-ALLAH.. Thanks, iman tak lupa solat nanti..” aku pula memprovok suasana dengan kenyataan pertengahan mesejku; single sampai bulan hujung puasa. Sengaja mahu dia lebihkan masa pada pagi ini. Agak lama mesej itu menyepi tanpa balasan. Selang 10 minit barulah ia berbalas.
“ Lepas puasa ni nak kahwin dah ke? Tahniah!” aku semakin tersenyum lebar dan akhirnya tersengih sendiri. Geli hati dengan tekaanya. ‘kahwin’.
“Tak juga. Kan kontrak 3 tahun dengan KKM tak boleh kahwin. Adalah…insyaALLAH..”sengaja aku menyesakkan lagi pemikirannya.
Aku tersenyum kerana provokasi dan lakonanku berhasil. Tidak jadi tidurnya. Tapi aku tidak menunggu respon kepada mesej tersebut. Sebaliknya aku membuka tajuk baru yang sudah lama ingin aku bongkarkan jawapannya.
“Eh! Maaf..”aku cuba berdiplomasi. “..bukan ke awal tahun hari tu enta kata dah bertemu jodoh enta? Masih ‘single’ lagi ke?” cuba bernada perli dalam senda sambil aku mencari kepastian. Dengan mudah dia memberi jawapan.
“Jumpa sekejap saja..cinta manusia Iman, mudah berubah…seperti yang Iman cakap, ‘single’ lagi okey. Walaupun hakikatnya Iman sendiri dah nak bertunang. Ana mengantuk sayang..”
‘Sayang lagi?’ aku bermonolog sendiri. Tapi aku pasti nadanya sinis bercampur geram kerana aku menganggu kantuknya pada masa ini. Lalu aku menyambung lagi membaca mesej yang terpapar di skrin telefonku sebentar tadi.
“ ..‘stop’ dulu perbincangan ni ya. Nanti kita sambung lagi.” Jelasnya jujur. Tapi entah kenapa aku memejam saja mata hati pada ayat tersebut, malahan aku juga bersikap terlalu jujur kali ini.
“ Mungkin itulah balasan andainya menyakiti yang lain..” dalam diam aku terasa pedihnya, sehinggakan terasa ada titisan panas di pipiku. Sehinggalah dia menyoal lagi barulah aku sedar diri dari belenggu emosi.
“ Macam lain saja maksudnya..” ada nada tersinggung.
“Apa yang lainnya?” aku pula bersoal; pura-pura tidak faham.
“ Istilah ‘balasan’ tu buat ana hilang mengantuk.” Jelasnya lagi.
“ Kenapa pula macam tu?” aku pula galak bersoal. Sengaja.
“ Faham atau buat-buat tak faham…” seolah-olah dia dapat meneka dengan tepat apa yang sedang aku fikirkan. Aku terus membaca lagi.
“..ana tak suka guna istilah ‘balasan’. Macam menjatuhkan hukuman dan tuduhan kepada orang! Tak layak kita..apa- apa pun mungkin ana salah tafsir dengan ayat Iman tu. Abaikan saja..wassalam.” jelas sekali ada nada tersinggung pada ayatnya.
“ Terpulanglah pada enta nak fahamkannya macam mana. Yang pasti setiap apa yang kita lakukan di dunia ini ada ganjarannya, samada yang buruk ataupun yang baik. Wassalam..” Dengan tenang aku mengakhiri seisi mesej tersebut.
Sengaja aku menggunakan istilah ‘ganjaran’ sebagai menggantikan istilah ‘balasan’ kerana menyedari suasana sudah semakin tegang. Perubahan yang drastik sejak kali pertama dia berkasar bahasa dalam mesej terakhir suatu masa dulu; sebelum menyambungnya kembali beberapa bulan yang lalu. Cepat benar dia terasa dan memberontak. Namun aku tetap berasa puas kerana aku berani menyatakan persoalan dan isi hatiku yang sudah lama aku pendamkan. Itulah puncanya kenapa aku keliru dengan keputusan sendiri selama ini. Aku amat menyayanginya namun terasa pedih bila mengenangkan semudah itu dia bermain tarik tali denganku; tanpa kenyataan yang jelas! Lantaran itu, aku perlu mencari jawapan yang tepat untuk perhubungan ini. Bukan sepertinya memberi dan meminta kembali dengan sesuka hati tanpa memikirkan perasaan orang lain.
Aku tidak berniat untuk memujuk dan tidak yakin konflik ini akan berakhir begitu saja. Paling tidak pun, kesannya pasti akan menjejaskan keselesaan dia dengan aku selepas ini. Akhirnya, sedikit demi sedikit aku sudah bersedia untuk kehilangan dia dari hidupku. Mampukah aku nanti?
Insya-ALLAH…
Lewat tengahari aku menghantar mesej kepada dia. Sekadar bertanyakan keadaannya.
“ Assalamualaikum w.t.h sahabat. Masih dalam ‘bad mood’ lagi ke?” senyap sepi. Aku terus menunggu lagi. Jika sapaanku bersambut aku berniat ingin membuka lagi sejarah dulu yang masih banyak soalan yang tidak berjawab. Bermula dari kenalan kepada kawan, sahabat sehinggalah teman istimewa. Apa yang dia faham tentang empat istilah itu. Begitu juga aku, samakah dengan pengertiannya? Jika berbeza tiada apa yang perlu dirungkai kembali kerana telah jelas salah fahamnya ada di situ. Namun jika pengertiannya sama, masih ada soalan penalti yang harus dijawab dan banyak persoalan yang harus yang dijelaskan sehingga berakhirnya sebegini rupa. Setengah jam kemudian aku mendapat balasan mesej darinya. Agak berkerut dahi aku membacanya, bergetar di jiwa menghantar sesak di dada.
“ Boleh tolong jelaskan tak, siapa yang Iman rasa ana pernah kecewa?? Ayat tu buatkan ana jadi sakit hati dan tertanya-tanya..” aku berfikir sejenak jawapan yang terbaik agar aku dapat mengawal keadaan kerana sudah terasa perang perasaan yang ke dua bakal tercetus.
“ Enta sudah bersedia ke dari sudut fizikal dan emosi?” aku cuba bermain dengan masa.
Bagiku persoalan ini terlalu berat kerana akan bermain dengan perasaan. Aku juga sedia tahu yang dia tidak tegar dalam keadaan tertekan. Pasti akan jatuh sakit nanti. Begitu juga aku, walaupun tidak sampai daftar masuk ke hospital. Kali ini jawapannya agak mendesak.
“ Cakap saja!” aku terkesima dengan sebaris ayat ringkas itu.
Rasa nak menangis pun ada juga. Itu baru sepatah dua dan melalui mesej. Jika ditengking depan-depan, sudah pasti aku merah mata kerana tangisan. Tapi ini bukanlah kali pertama aku menerima mesej kasar darinya. Putusnya jalinan dulu pun kerana kekasaran bahasa dalam mesejnya juga. Walaupun sudah pernah berhadapan dengan situasi ini, aku masih gagal untuk mengukuhkan benteng jiwa dengan kekasaran itu. Jiwa wanitaku secara fitrahnya menjadikan aku rapuh dengan keadaan sebegitu.
“ ‘You’ tengah mood tak okey kan? So better forget until you are in the stable” tegasku pula.
Malas hendak melayan amarah ‘bad mood’nya. Dalam masa yang sama aku bimbang aku juga turut terheret dalam amarah yang sama. Kesudahannya nanti pasti tak setenang yang aku rencanakan.
“ Kalau ‘eager’ nak tahu, ‘better’ lepas kita zuhur. ‘I’ pun malas nak simpan benda ni lama-lama.” Sudah ada kelainan dalam gelaran diri antara aku dan dia.
Itulah aku jika sedang marah. Lebih suka tidak formal. Aku cuba berlembut lagi setelah mesej pertama tiada balasan. Membiarkan dan memberi peluang fikiran rasional selepas solat menguasai minda dalam perbicaraan mahkamah perasaan itu nanti. Tiada balasan pada mesej tersebut. Aku membiarkan saja. Jika aku pun memerlukan masa untuk tenang, ini kan pula dia yang sudah bahang sedari tadi. Selebihnya, aku hanya menunggu selepas zuhur saja.
22/08/2010-11 Ramadhan; 5.27 pagi
“ Assalamualaikum w.t.h, enta dah sembahyang subuh? Banyak yang Iman nak tanyakan…” sengaja aku tidak habiskan taipan mesej itu kerana aku yakin dia lebih mengetahui apa yang aku maksud. Aku berniat untuk menyambungnya pada pagi ini memandangkan semalam tiada respon. Dan hari ini pun masih berkeadaan yang sama. Lantaran itu aku menghantar satu lagi mesej berbaur pujukan kepadanya dengan harapan agar semuanya berhasil dalam mendapatkan penjelasan darinya.
“ Tengahari Iman nak ‘continue discuss’. Kalau enta tak balas juga..enta pasti tahukan betapa sakitnya hati menyimpan persoalan yang tak terjawab. Iman pilih bulan mulia ini agar segalanya terkawal daripada emosi, ia akan berhias kesabaran dan terkawal. Bukannya masa nak berkasar dan marah-marah. Fikirkanlah..” aku buntu dalam memancing reaksinya.
Harus bagaimana lagi? Adakah ini kisah luka sekeping hati seorang yang baru hendak mengenal dunia perjuangan? Akukah insan yang terpilih untuk menhadapi semua ini? Akukah? Atau mungkin Kak Ida, kakak angkatnya itu sudah menjadi gantinya sehinggakan aku terpinggir?Ah! aku cuba mengaitkan Kak Ida pula..tapi usahaku selama ini nampaknya berhasil. Alhamdulillah..setelah hampir beberapa tahun dia dan Kak Ida tidak saling berhubung, kini dua orang bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah itu kembali menjalin persahabatan. Perkahwinan Kak Ida bukanlah penghalang utama mengapa persahabatan itu harus tertangguh. Mungkin untuk beberapa tahun ini kehadiran Kak Ida tidak nampak perlu kerana aku telah dikirimkan oleh Kak Ida sebagai gantinya sehinggalah kini semuanya kembali normal. Alhamdulillah, usahaku tidak sia-sia selama ini walaupun aku terpaksa melepaskan semula ‘tempat’ku. Sebelum ini akulah yang menjadi perantaraan antara mereka tapi kini tidak nampak lagi perlunya aku. Bukahkah aku tidak tercatat dalam senarai persahabatan mereka? Ya, benar itu; hanyalah persinggahan saja.
“ Assalamualaikum wth…persinggahan Iman sudah berakhir sahabat. Kebetulan, enta pun sudah kembali ‘contact’ dengan Kak Ida,kan? Alhamdulillah, usaha Iman tak sia-sia. Jika dulu Iman diselitkan antara enta dan Kak Ida, tapi kini tak perlu lagi adanya Iman. Persahabatan itu tidak harus ada perantaraan, bukan? Banyak yang Iman dapat selama singgah di sini. Terima kasih kerana bagi Iman singgah sekejap. Hidup sebagai orang baru terlalu banyak dugaannya. Dalam menghadapi ujian, ada yang membantu, ada yangg hanya melihat dan tak kurang juga ada yang mengambil kesempatan. Namun tak perlu mengeluh dengan apa yang dilalui kerana penyesalan tak bawa apa-apa makna andai tiada pengajaran untuk masa akan datang. Kembalilah kepada keadaan yang asal. Iman dengan perjuangan hidup baru Iman. Enta dengan persahabatan yang sudah pulih. Paling penting juga dengan perjuangan masing-masing . Halalkan segala rasa, segala tindakan dan kekurangan…” aku tidak mampu lagi menyambung kata-kata lalu aku biarkan penhujungnya tergantung.
Terlalu banyak kepincangannya dulu dan sekarang. Bermula dengan hanya mesej mutiara kata kalamullah, aku dan dia semakin jauh menuju ke ruang perasaan sndiri. Seawal waktu pagi mula mengirim mesej, semakin lama aku dan dia memilih waktu lewat malam sebagai waktu perantaraan. Jika dulu cukup sekadar menghantar mesej dan bait-bait kata, kini aku dan dia sudah pandai untuk mendengar suara. Malahan boleh pula merancang untuk berjumpa. Jika dulu hanya kata nasihat dan mujahadah, tapi landasan itu semakin tersasar kepada rayuan dan pujukan. Rimas sudah berubah kepada keasyikan nafsu. Dan nafsu itu telah menghancurkan diriku sendiri.
Mungkin kisah sekarang lebih afdal begitu. Agak mengejutkan tapi akhirnya, ternokhtah juga kisah yang tidak berepisod ini. Datangnya bersama rindu, sayangnya pergi meninggalkan sendu. Mungkin inilah akibatnya pabila manusia lupa dengan hakikat cinta sebenar kurniaan ALLAH. Cinta itu hanyalah satu rasa pinjaman dari ALLAH. Perlu dijaga bersama semaian syariat, bajaan iman. InsyaALLAH, akan terpeliharalah kesuciannya. Namun pabila manusia sudah mula mengagungkan rasa cinta yang hanyalah secebis itu sesama manusia melebihi cinta kepada tuhannya, maka pudarlah cinta kepada yang berhak. Cuba menjadikan pinjaman itu satu yang abadi dalam diri, sehingga terlupa cinta pada yang Maha Memiliki. Akibatnya, cinta itu tidak akan kekal dalam diri kerana tidak pernah mendapat keberkatan dari yang hakiki. Hilangnya cinta ini kerana takdir tuhanku. Maka aku redha dengan ketentuanNya. Pasti ada silapnya antara aku dan dia suatu masa dulu yang tidak aku sedari. Tidak halal cinta antara bukan muhrim tanpa ikatan yang sah! Semoga perpisahan ini mendapat kebahagian dan keredhaan ALLAH seiring bersama keberkatan bulan yang mulia ini. AMIN..
22/08/2010; 12 RAMADHAN : 1.38 TENGAHARI
ASTAGHFIRULLAH AL-AZIM…!!!
CINTA manusia itu benar-benar meragut ketenanganku,
Terasa bergoyah segala cinta yang dulu teguh hanya pada Yang Satu,
Tuhanku ,
Jangan pernah Kau lalaikan aku dengan cinta hambaMU,
Aku masih lagi menginginkan cintaMU,
Masih lagi mengharapkan kasihMu,
Aku masih lagi merindukan kelembutanMU..
Tuhanku..
Cinta itu abadi kewujudannya,
Namun manusia menjadikannya bersifat seketika,
Datangnya tidak bersapa, perginya tanpa bicara,
Lalainya sehingga mempertaruhkan kewarasan akal dan nyawa,
Kasihnya indah hanya sementara,
Rindunya hanya nafsu semata-mata,
Lembutnya serapuh iman,
Bukan sekuat pegangan.
Ya ALLAH,
Tenggelamnya aku dalam cintaMU adalah keabadian,
Tenggelam aku dalam cinta dunia adalah kehancuran,
Hanyutnya aku bersama kalamMU adalah kerahmatan,
Hanyutnya aku dengan bisikan nafsu adalah kebinasaan,
Andainya cinta adalah rasa kurniaanMU yang tidak pernah mati,
Rela aku musnah dalam cintaMU…!

No comments:
Post a Comment